PM, Presiden Parti Gabungan Kerajaan Perpaduan Dijemput Ke Perhimpunan Agung UMNO

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kesemua presiden parti politik gabungan Kerajaan Perpaduan dijemput untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual berlangsung pada 7 hingga 10 Jun ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkan ia sebagai sejarah buat parti berkata Anwar dijadual akan menghadiri perhimpunan berkenaan namun tidak akan memberikan ucapan.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berucap…beliau menjadi tetamu kehormat kami. Agenda hanya ucapan dasar presiden,” katanya pada sidang media mengenai Perhimpunan Agung UMNO di Ibu Pejabat UMNO, di sini hari ini.

Kerajaan Perpaduan dibentuk oleh gabungan 19 parti politik.

Selain presiden parti, jemputan juga dibuat kepada semua pemimpin sayap parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan.

Mengulas tentang agenda yang akan dibincangkan perwakilan pada perhimpunan itu, Asyraf Wajdi berkata ia termasuk soal ekonomi rakyat, kestabilan politik dan kerajaan, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, agama Islam, Melayu dan bumiputera.

Katanya satu perhimpunan khas turut akan diadakan bagi meminda beberapa fasal dalam Perlembagaan UMNO bagi memudahkan pendaftaran ahli baharu terutamanya secara dalam talian.

“Ini dihasratkan oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempermudahkan soal keahlian parti terutamanya keahlian dalam talian. Kami menerima maklum balas bahawa ramai mahu sertai UMNO tetapi terdapat kekangan perlembagaan contohnya setiap pendaftaran perlu mendapat kelulusan ketua cawangan, jadi kami nak permudahkan supaya UMNO lagi dekat dekat dengan generasi anak muda,” katanya.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu berkata seramai 6,341 perwakilan akan menghadiri perhimpunan itu, sekali gus menjadikan ia jumlah teramai susulan keputusan perhimpunan agung khas pada Januari lepas yang meluluskan pindaan perlembagaan membabitkan kehadiran ketua penerangan bahagian dan sayap sebagai perwakilan automatik pada Perhimpunan Agung UMNO.

Menjawab mengenai ramalan bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin baru-baru ini bahawa UMNO berkemungkinan kehilangan separuh sokongan pengundi Melayu dalam enam PRN, Asyraf Wajdi berkata ia hanyalah ramalan semata-mata.

Beliau menegaskan UMNO tidak pernah terpesong daripada agenda dan perjuangannya untuk membela kedudukan Islam, Melayu dan bumiputera serta Raja-Raja Melayu. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit