UMNO Dalam Kerajaan Manfaat Pada Rakyat, PAU 2023 Platform Kedinamikan Politik Baharu – Noor Azleen

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Kebersamaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan perlu sealiran dan ianya sangat penting, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros.

Jelasnya, kebersamaan UMNO/ BN dan PH dalam pentadbiran negara merupakan satu titik yang positif serta mampu memberi manfaat kepada rakyat.

“Kebersamaan parti UMNO/BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduaan ini juga telah diperlihat dan diperkukuhkan demi memberi manfaat kepada rakyat apatah lagi melalui penganjuran Konvensyen Nasional yang telah diadakan baru-baru ini.

“Ini bermakna pandangan dan pendirian serta dasar-dasar utama UMNO dalam satu-satu perkara yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat sentiasa diambil kira melalui enam orang menteri Kabinet yang dilantik dan ini sebenarnya menguntungkan UMNO.

“Antara lain, kepentingan penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah untuk memastikan dasar-dasar UMNO dalam pelbagai aspek pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat dapat mempengaruhi dasar-dasar kerajaan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Dalam masa yang sama beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 ini sungguh bermakna dalam dinamik politik baharu.

“PAU 2023 penting sebagai platform untuk kita benar-benar bersedia dalam menguruskan kedinamikan politik baharu melalui kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Konteks dan situasi semasa sebenarnya berkehendakkan UMNO untuk memperkukuh kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan. Bagi UMNO, kita perlu jelas bahawa perlu kembali menjadi parti teras dan utama mewakili kepentingan orang Melayu.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri bukan satu tugas mudah. Sebab itu, kesatupaduan dan muafakat sebagai satu parti cukup mustahak dan wajar diterjemahkan melalui PAU 2023 yang bakal menjelang,” jelasnya lagi.

PAU 2023 akan diadakan pada 7 hingga 10 Jun. Terdahulu pada PAU lalu menyaksikan penganjuran PAU Khas bagi meminda dua Perlembagaan UMNO.

Ianya membabitkan Rang Undang-Undang Akta Anti Lompat Parti dan pertambahan perwakilan secara automatik melibatkan Ketua Penerangan Bahagian UMNO dan tiga sayap peringkat bahagian seluruh negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.