Menjelang PAU: Suhu, Iklim Akar Umbi Ke Arah Strategi Politik Masa Depan – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Menuju ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, para perwakilan sedang memasuki fasa melihat segala gerak-geri dan strategi politik dirancang terutamanya dalam memulihkan semula sokongan rakyat demi menghadapi cabaran masa depan.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi berkata, suhu akar umbi menuju ke PAU kali ini agak berbeza berbanding PAU 2022 dan selepas penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.

“Suhu akar umbi UMNO menuju PAU 2023 jelas berbeza berbanding PAU 2022 dan konvensyen.

“Ini berikutan, pemilihan telah pun berlalu dan akar umbi sedang memasuki fasa ‘tunggu dan lihat’ terhadap segala gerak geri serta strategi politik yang direncanakan oleh pucuk pimpinan UMNO bagi memulihkan kembali sokongan rakyat memandangkan pucuk pimpinan juga sedang berkuasa di tampuk kerajaan,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, ini merupakan fasa yang paling kritikal bagi pucuk pimpinan baharu membuktikan segala taktikal pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Fasa ini sangat kritikal kepada pucuk pimpinan baharu untuk membuktikan segala taktikal pasca PRU ke-15 ini akan membuahkan hasil.

“…agar sentimen akar umbi pada fasa seterusnya akan berpihak mereka atau ledakan suhu akan meningkat dengan meroket sekiranya jangkaan dan harapan akar umbi tidak tercapai,” katanya lagi.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bakal berlangsung pada 7 sehingga 10 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini.

Perhimpunan ini akan mengumpulkan para perwakilan daripada 191 bahagian seluruh Malaysia sebagai tanda manifestasi kepada semangat perjuangan parti yang tidak pernah luntur.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa PAU pada tahun ini diadakan lebih awal kerana selepas itu akan diadakan sesi jelajah ke negeri-negeri yang bakal berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan menggerakkan jentera. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.