UMNO Kekal Bersama Kerajaan Perpaduan Selaras Titah Agong – Rosni Zahari

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari menyatakan pendirian UMNO untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Menerusi hantaran video di laman Facebook Wanita UMNO, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan sehingga menghasilkan lima tekad yang berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Alhamdulilah selesai sudah Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan pada hari Ahad yang lepas dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak terlibat dalam menjayakan konvensyen tersebut sehingga kita dapat menghasilkan lima tekad.

“Kelima-lima tekad ini adalah berasaskan kepada peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi macam biasalah, apabila rumah siap pahat berbunyi,” katanya.

Jelasnya, ada pihak yang cuba untuk menggugat pendirian UMNO bagi membentuk kerajaan ‘tebuk atap’ meskipun parti ini telah dihina oleh pihak mereka sendiri.

“Sekalung penghargaan saya ucapkan buat anda kerana begitu prihatin dan berminat dengan UMNO sehinggakan falsafah UMNO pun anda hafal. Walaupun parti keramat UMNO ini dihina, dibenci, dicaci setiap hari oleh pihak sebelah sana namun parti ini jugalah yang menjadi rebutan untuk membentuk kerajaan.

“Mungkin boleh dikatakan untuk tebuk atap lagilah kot. Tapi maaflah, pendirian UMNO sehingga ke hari ini akan tetap bersama dengan Kerajaan Perpaduan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Perlu diingat bahawa pihak sebelah sana yang terlebih dahulu dipelawa oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan tetapi dengan angkuh telah ditolak oleh presiden parti anda,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Rosni turut beranggapan UMNO/Barisan Nasional (BN) sebenarnya bersedia menjadi pembangkang dan telah menerima hakikat bahawa parti itu telah ditolak hebat oleh rakyat pada PRU ke-15 lalu.

“Kami daripada UMNO ini telah sedar bahawa kami ni dah kalah dan telah pun bersedia untuk jadi pembangkang pada waktu itu. Tetapi apakan daya apabila anda menolak, parlimen tergantung dan kerajaan perlu dibentuk.

“Maka apabila tawaran dibuat kepada Presiden kami daripada UMNO. Kami menerima dengan berlapang dada. Dengan sebab izin Allah dan akur dengan titah istana, kemelut parlimen yang tergantung pun dapat diselesaikan,” katanya lagi.

Menurut Rosni lagi, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang telah berlangsung pada Ahad lalu berjaya untuk mengukuhkan silaturahim antara parti.

“Alhamdulilah, dengan selesainya konvensyen nasional kerajaan perpaduan silaturrahim kami ahli-ahli yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini semakin utuh dan mesra. Sekarang ini kita fokus kepada persamaan dan bukannya perbezaan.

“Bak kata Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam ucapan beliau pada hari Ahad yang lepas, ini bukanlah masa untuk kita mencari silap dan salah. Ini bukan lagi masa untuk kita ungkit kisah silam kita. Kita perlu fokus, jadikan konvensyen ini sebagai titik mula kepada sebuah agenda yang lebih besar, tekad bersama. Jangan kita bertangguh lagi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar pihak pembangkang terus menjadi pembangkang yang berwibawa dalam sistem negara demokrasi berparlimen ini.

“Akhir kata, cukuplah kutuk kami ini dan move on. Teruslah jadi pembangkang yang berwibawa kerana peranan mereka juga penting dalam sistem negara demokrasi berparlimen ini.

“Kami akan terus berpegang kepada tiang seri kami, berjuang untuk AbaTa, Agama, Bangsa dan Tanah Air,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.