Muhyiddin Perlu Cermin Diri Sebelum Letak Kesalahan Kepada Ahmad Zahid – Suraya

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Suraya Yaacob menempelak Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengaitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan pertuduhan rasuah ke atas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Katanya, tohmahan yang dilemparkan itu suatu yang tidak wajar dilakukan sebaliknya Muhyiddin perlu bertanggungjawab tanpa meletakkan kesalahan kepada orang lain.

“…yang menjadi pelik dan hairannya adalah setiap kali apa jua berlaku di negara ini ianya bersangkutan dengan Presiden UMNO.

“Saya rasa Muhyiddin perlu melihat diri sendiri sebelum meletakkan kesalahan atau alasan kepada Presiden UMNO.

“Beliau perlu bertanggungjawab dengan ahli-ahlinya sendiri dan mengenai pendakwaan-pendakwaan yang berlaku tanpa meletakkan kesalahan tersebut kepada orang lain,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Ketua UMNO Bahagian Pendang itu juga berpendirian bahawa setiap pendakwaan yang dilakukan adalah berasas kerana ianya berlandaskan daripada siasatan dan bukti diperoleh pihak berkuasa.

“Kalau disebut sebagai pendakwaan terpilih oleh beliau sendiri kerana pendakwaan terpilih bermaksud ada orang yang didakwa dan ada yang tidak tapi untuk kerajaan ini saya nampak semua sisatan dilakukan sama rata.

“Bila ada bukti ada orang mengadu siasatan dilakukan, apabila ada kes dakwaan dibuat macam dijawab oleh Saifuddin Nasution (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail – Menteri Dalam Negeri) sebelum ini, siapa yang salah mestilah didakwa.

“…kerana kita tidak menggunakan pun kes atau pendakwaan untuk buat rundingan lain kerana siapa yang bersalah mesti bertanggungjawab untuk didakwa. Ini suatu pendekatan yang memang adil dan saksama,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang itu lagi.

Terdahulu, Wan Saiful menerusi pertuduhan pertama, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232,000,000.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Wan Saiful didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.