Pandora Papers: SPRM Telah Buka Skandal Kleptokrasi Terbesar Dunia – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil beranggapan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kotak Pandora berkenaan kes kleptokrasi terbesar dalam sejarah Malaysia atau dunia.

Jelasnya, beliau mendengar khabar bahawa SPRM telah memanggil bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin berhubung siasatan berkenaan duit berbilion ringgit seperti yang dinyatakan dalam Pandora Papers.

“Saya mendengar khabar bahawa SPRM telah memanggil Tun Daim Zainuddin berhubung siasatan berkenaan duit berbillion ringgit berkaitannya dan keluarganya di luar negeri seperti yang dinyatakan di dalam Pandora Papers.

“Mengikut laporan media, siasatan tertumpu kepada aset-aset dan kekayaan luar biasa yang disalur ke akaun di luar negeri dan kekayaan dipercayai atau mungkin diperoleh daripada kontrak-kontrak kerajaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, Isham turut mendengar khabar bahawa anak bekas Perdana Menteri turut akan dipanggil SPRM bagi memberi keterangan.

“Saya juga mendengar khabar bahawa anak bekas Perdana Menteri (kemungkinan besar anak Tun Mahathir atau Muhyiddin) juga akan dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan.

“Saya syak bahawa SPRM mungkin telah membuka kotak Pandora berkenaan kes kleptokrasi terbesar dalam sejarah Malaysia atau dunia,” katanya lagi.

Semalam media melaporkan, seorang bekas Menteri Kewangan disiasat SPRM berhubung Pandora Papers yang mendedahkan mengenai penyimpanan harta di luar negara berjumlah ratusan bilion ringgit.

Siasatan pada ketika ini adalah menjurus kepada kekayaan luar biasa yang dimiliki beberapa individu termasuk bekas menteri dan individu kenamaan lain serta keluarga mereka, selain kaitannya dengan syarikat luar pesisir di luar negara.

SPRM juga menyiasat kemungkinan ada hubung kait kewangan yang dimiliki, hasil daripada tender dan projek kerajaan. Setakat ini, tiada pembekuan aset dilakukan oleh SPRM.

Pandora Papers, antara lain menyebut, kira-kira 12 individu Malaysia, termasuk empat ahli politik, antara puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia yang didapati menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, sepanjang 25 tahun lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.