Pemecatan Keahlian, UMNO Depani Cabaran Mendatang

Hari ini beberapa orang bertanya saya tentang pemecatan Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin. Baru-baru ini Lembaga Disiplin UMNO telah membuat keputusan untuk menggantung Tan Sri Noh dari keahlian UMNO, namun dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO kelmarin Tan Sri Noh telah meminta supaya dia terus dipecat.

Saya dan ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi yang lain tidak ada dalam Lembaga Disiplin UMNO, namun saya yakin Lembaga Disiplin UMNO telah membuat penelitian terhadap laporan-laporan dan bukti-bukti yang ada sebelum membuat keputusan untuk menggantung Tan Sri Noh dan memecat Khairy Jamaluddin, serta mengambil tindakan kepada 40 orang ahli UMNO yang lain.

Majlis Kerja Tertinggi tidak campurtangan dalam proses siasatan dan keputusan Lembaga Disiplin. Majlis Kerja Tertinggi kebiasaannya memperakukan saranan dan keputusan Lembaga Disiplin berkenaan kes-kes disiplin yang melibatkan ahli-ahli parti.

Saya telah dimaklumkan bahawa terdapat 16 laporan atau bukti yang menunjukkan Tan Sri Noh telah melanggar disiplin parti semasa pilihanraya umum ke-15 yang lepas apabila dia tidak dicalonkan. Antara hujah pembelaan dirinya, Tan Sri Noh berkata calon BN di Tanjong Karang telah kalah sebab penolakan pengundi terhadap UMNO dan bukan kerana sabotaj yang berlaku kepada parti. Namun demikian, pandangan saya ialah keputusan kalah atau menang itu bukanlah boleh dijadikan alasan untuk lepas dari pelanggaran disiplin, sebab jika kita menang pun tetapi ada ahli yang mensabotaj parti maka orang yang mensabotaj tersebut tetap bersalah dan perlu diambil tindakan, apakan lagi apabila kita kalah.

Khairy pula telah menyatakan bahawa UMNO telah sesat semasa kempen PRU-15 di Sungai Buloh baru-baru ini. Saya lihat mungkin strateginya adalah untuk menangkan dirinya di Sungai Buloh dengan menghentam partinya sendiri untuk menarik pengundi yang membenci UMNO. Namun demikian, kesan negatif daripada tindakannya ini diterima oleh UMNO di seluruh negara apabila media-media perdana dan media sosial parti lawan menyebarkan kenyataannya secara meluas kepada pengundi. Dia pastinya tahu dia mungkin boleh menang di Sungai Buloh dengan strategi ini tetapi dengan sedikit-sebanyak mengorbankan calon-calon UMNO yang bertanding di tempat-tempat lain.

Terdapat juga 25 orang yang telah dilucut keahlian kerana mereka telah bertanding sebagai calon atau menjadi penyokong calon di atas tiket lawan iaitu Perikatan Nasional (PN) atau bebas semasa PRU-15 yang lepas. Saya telah dimaklumkan bahawa Lembaga Disiplin telah memeriksa dan merujuk perkara ini dengan maklumat daripada SPR. Ini termasuklah seorang pegawai Tan Sri Noh yang bertanding sebagai calon bebas di Tanjung Karang menentang calon UMNO.

Dan 15 lagi orang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin dengan bukti-bukti kukuh yang menunjukkan bahawa mereka telah menyokong parti lawan terutama Perikatan Nasional semasa kempen PRU-15 yang lepas. Saya telah dimaklumkan bahawa terdapat banyak laporan, video dan gambar-gambar yang menunjukkan antaranya mereka telah berkempen dan memakai baju Perikatan Nasional untuk calon lawan menetang calon UMNO.

Persoalannya, adakah kita perlu menjadi lembut atau lembik dan membiarkan sahaja perkara ini berlaku tanpa apa-apa tindakan? Dalam hal ini kita perlu bertegas. Sebab UMNO kini berada dalam masa yang penting untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran mendatang, kita tidak boleh berjuang dan menentang musuh dalam perang jika ada duri dalam daging di tubuh. Dalam setiap organisasi perlu ada disiplin, jika tidak organisasi akan menjadi anarki dan lemah serta mudah ditewaskan musuh. Sebab itu contohnya dalam tentera disiplin adalah perkara yang paling utama.

Semasa zaman Rasulullah, tentera Islam telah kalah dalam perang Uhud kerana sebahagian daripada mereka tidak berdisiplin dan segera ingin mencari harta rampasan perang untuk diri sendiri tanpa menghiraukan arahan Rasulullah. Walaupun UMNO adalah parti politik dan bukan organisasi tentera yang mana hukuman tidak mendengar arahan dalam tentera adalah seberat hukuman mati, namun setiap individu dalam organisasi yang bukan tentera pun perlu ikut disiplin berorganisasi supaya organisasi sentiasa kukuh dan tidak menjadi lemah. Dan hukuman mesti adil kepada semua, jika hanya orang-orang bawahan sahaja dikenakan tindakan namun nama-nama besar dilepaskan begitu sahaja, maka ia tidak adil dan bukanlah suatu contoh tauladan yang baik.

Tan Sri Noh menyatakan bahawa dia belum dipanggil oleh Lembaga Disiplin untuk memberi kenyataan dan hanya dipanggil untuk hadir pada hari esok. Saya tidak berada dalam Lembaga Disiplin oleh itu saya tidak boleh komen berkenaan mengapa halnya sedemikian. Namun pandangan saya adalah mungkin Lembaga Disiplin telah berpuas hati dengan bukti-bukti yang ada yang jelas menunjukkan pelanggaran disiplin mengikut Perlembagaan UMNO dan membuat rekomendasi kepada Majlis Kerja Tertinggi.

Ada beberapa pihak yang mempersoalkan tentang prosidur dan isu teknikaliti berkenaan proses pemecatan mereka atau rakan-rakan mereka. Di sini saya ingin nyatakan (dan mengikut makluman dari para peguam UMNO) bahawa sebenarnya mengikut Perlembagaan UMNO proses tindakan pemecatan atau penggantungan ahli hanya perlu dirujuk kepada Majlis Kerja Tertinggi sahaja. Proses-proses lain yang melibatkan Lembaga Disiplin dan sebagainya itu sebenarnya hanyalah pengurusan dalaman yang dipraktikkan. Oleh itu apabila Majlis Kerja Tertinggi telah memperakukan pemecatan dan penggantungan ahli UMNO, maka pemecatan dan penggantungan itu adalah sah di sisi Perlembagaan UMNO dan undang-undang serta peraturan.

Namun ini tidak bermakna Tan Sri Noh dan yang lain tidak boleh merayu atau berjumpa lagi dengan Lembaga Disiplin untuk membela diri. Dia masih boleh berjumpa dengan Lembaga Disiplin seperti tarikh asal jemputan iaitu 30 Januari 2023 atau esok. Lembaga Disiplin UMNO bukanlah Mahkamah Persekutuan dan hukuman kepada Tan Sri Noh dan Khairy ini bukanlah hukuman penjara atau hukuman mati. Mereka masih boleh membela diri dan merayu beberapa kali. Jika Tan Sri Noh dan Khairy serta yang lain-lain boleh mengalahkan bukti-bukti terhadap mereka yang menunjukkan mereka bersalah, saya percaya Lembaga Disiplin akan membuat keputusan yang seadilnya. Namun saya ingin menasihatkan kepada mereka supaya usahlah mencabar-cabar Lembaga Disiplin atau Majlis Kerja Tertinggi untuk memecat mereka seperti yang mereka telah lakukan sebelum ini, ini akan memburukkan lagi keadaan dan menunjukkan keangkuhan.

Akhir kata, saya ingin nyatakan supaya ahli-ahli UMNO yang telah digantung dan dipecat di atas supaya bersabar dengan cabaran Allah SWT ini. Saya dahulupun pernah dipecat daripada jawatan parti walaupun bukan kerana kesalahan disiplin, oleh itu saya tahu bagaimana rasanya apabila kita dipecat. Namun saya percaya untung nasib kita ditentukan oleh Allah SWT dan bukan oleh manusia, jika kita berjuang dengan ikhlas dan terus istiqamah, Allah akan bantu kita, inshaAllah.

Sekian, ikhlas dan salam.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia
Isham Jalil
29 Januari 2023

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.