Semangat Ahli UMNO Membara… UMNO Punya Harapan Bangkit Semula – Mohd Sharkar

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Para perwakilan masih mempunyai semangat yang tinggi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) meskipun pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak mendapat pencapaian yang baik.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, UMNO masih mempunyai harapan untuk bangkit semula meskipun telah tewas sebanyak dua kali berturut-turut.

“Kita dapat lihat bahawa walaupun pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kita tidak mendapat pencapaian yang baik, tetapi semangat yang ditunjukkan para perwakilan agak tinggi.

“Kita masih lagi mempunyai harapan untuk bangkit semula daripada kekalahan yang kita alami,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, para perwakilan serta akar umbi perlulah memberikan peluang kepada Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus mengemudi parti setelah keputusan sebulat suara dibuat agar dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.

“Saya yakin dan percaya bahawa seperti yang dinyatakan, kita perlu memberi peluang kepada Presidenuntuk beliau terus mengemudi parti kerana beliau menjadi presiden dahulu bukan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Berbeza pada kali ini.

“Sudah tentulah banyak kemudahan dan punca kuasa yang ada. Dalam masa sama beliau mempunyai kementerian, saya yakin dan percaya dengan struktur serta kemampuan beliau untuk terus memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa UMNO merupakan parti yang sentiasa mampu membawa aspirasi rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar turut berharap agar para perwakilan pulang ke kawasan masing-masing dan melakukan kerja seperti biasa serta mengikut arahan pimpinan parti.

“Kita harap selepas PAU ini semua perwakilan pulang ke kawasan masing-masing dan lakukan kerja-kerja seperti biasa serta menunggu arahan daripada pimpinan.

“Kita tahu bahawa UMNO ini mempunyai lebih tiga juta ahli. Sudah tentulah kita mampu untuk menguruskannya dengan baik. Pesanan saya, apa sahaja keputusan yang dibuat di PAU, kita mesti taati dan akur kepadanya,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.