UMNO Amal Demokrasi Namun Perlu Disesuaikan Dengan Realiti Semasa – Pembahas Perlis

KUALA LUMPUR, 15 Jan – UMNO sentiasa mengamalkan demokrasi namun ianya perlu disesuaikan dengan situasi semasa.

Naib Ketua UMNO Bahagian Kangar, Hamizan Hasan berkata, konsep demokrasi ini bukanlah sesuatu yang terpahat di batu ataupun tidak boleh diubah konsepnya dan boleh disesuaikan dengan realiti semasa.

“Kita mengamalkan demokrasi tetapi kita juga jangan lupa bahawa demokrasi ini tidaklah sempurna dan boleh dimanipulasi. Konsep demokrasi ini bukanlah sesuatu yang terpahat di batu ataupun tidak boleh diubah konsepnya dan boleh disesuaikan dengan realiti semasa.

“Terpulanglah daripada sudut mana kita melihat sistem demokrasi itu dan kesannya kepada kita, kemudaratan dan kemaslahatan kepada kita,” katanya ketika berbahas mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis pada Perhimpunan Agung UMNO, semalam.

Jelasnya, kestabilan perlu dipupuk dan diperkasa terutamanya di dalam UMNO serta Kerajaan Perpaduan kerana ianya dibentuk atas dasar kesepaduan, kesepakatan lima gabungan parti yang mempunyai objektif masing-masing.

“Kestabilan ini perlu kita pupuk, pelihara dan perkasakan terutama dalam parti kita sendiri dan di dalam Kerajaan Perpaduan pada hari ini. Kerajaan ini dibentuk atas dasar kesepaduan, kesepakatan lima gabungan parti yang mempunyai hala tuju dan juga objektif masing-masing.

“Lima parti ini perlu stabil. Parti kita juga perlukan kestabilan agar dengan kestabilan parti kita ini dapat kita menyumbang kepada kestabilan Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini.

“Demi untuk memastikan parti kita stabil, maka Perlis sesungguhnya bersetuju dan menyokong usul yang telah dibawakan oleh Negeri Sembilan bagi terus mengekalkan atau tidak mempertandingkan dua jawatan utama ini,” katanya ketika berbahas mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis pada Perhimpunan Agung UMNO, pagi tadi.

Jelasnya, peluang harus diberikan kepada Presiden dan Timbalan Presiden untuk menguatkan kembali parti sekaligus meneruskan survival parti.

“Marilah kita beri peluang kepada Presiden kita dan juga Timbalan Presiden kita untuk terus membaik pulih dan menguatkan kembali parti kita, meneruskan survival parti dengan kelebihan dan kekuatan yang ada pada mereka pada masa kini.

“Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu kita berkempen dan menguar-uarkan kepada rakyat tentang kestabilan supaya kerajaan yang kita akan bentuk nanti turut stabil. Tetapi, pada masa yang sama kita menunjukkan pula kepada rakyat perpecahan ataupun ketidakstabilan di dalam parti kita sendiri,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.