Dr Asyraf Imbau Semangat Ahli Parti Pasca PRU-14 Lalu, Marilah Kita Sama-Sama Bergerak Ke Depan

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengajak seluruh ahli parti untuk mengimbau kembali senario parti sejurus kekalahan pertama pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Kata beliau ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2022 semalam, pada waktu itu  seluruh pimpinan dan ahli bergerak bersama menggalas cabaran parti dan selama 22 bulan ahli serta pimpinan sederap dengan penuh muafakat. 

“Ketika kita kalah pada 2018, waktu itu kita bagaikan sebuah bahtera yang hampir karam… layarnya carik dan koyak rabak… pendayungnya patah dan bocor di sana sini. Juragan dan kelasi ada yang terjun kerana melihatkan bahtera ini seolah-olah tidak ada harapan.

“Inilah muka-muka dan ahli seluruh  negara mempertahankan bahtera pada ketika itu. Kita sama-sama selamatkan UMNO daripada karam dan kita sama-sama membawa ketepian dengan harapan bangkit semula.

“Alhamdulillah kita dapat bangkit semula pada waktu itu. Dalam tempoh 22 bulan kita tidak dengar macam-macam dan itulah saat paling manis sekali. Saya turun ke bahagian dan dapat lihat semangat yang cukup tinggi,” katanya.

Katanya lagi pada waktu itu tidak timbul langsung pelbagai gelaran dan pelbagai ungkapan di dalam parti sebaliknya sama-sama menggalas cabaran.

“Pada waktu tidak timbul langsung kluster itu dan kluster ini…dan kita sehati sejiwa malah sepakat untuk bersama mempertahankan bahtera.

“Justeru marilah kita bersama-sama untuk mendayung bahtera ini dan kembali bangkit sebagai satu pasukan yang kuat,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.