UMNO Harus Segera Atasi Rasa Sangsi, Kembalikan Perjuangan Parti – Pandak Ahmad

KUALA LUMPUR, 14 Jan –UMNO harus segera mengatasi rasa sangsi akar umbi dan orang Melayu terhadap parti dan kepimpinannya serta meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara, kata pembahas Jurucakap usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bagi Negeri Johor, Datuk Pandak Ahmad

Ujarnya hari ini UMNO berjaya mendukung pembentukan Kerajaan Perpaduan dan beberapa pemimpin UMNO diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri walaupun hanya memenangi 26 kerusi di Dewan Rakyat adalah demi masa hadapan.

“UMNO menganggotai Kerajaan Perpaduan untuk kepentingan Malaysia dan ia adalah satu tindakan yang terpuji. Namun, kekalahan teruk UMNO dalam Pilihan Raya Umum (PRU)15 memerlukan penjelasan dan penambahbaikan yang berterusan.

“Sebagai sebuah parti politik, memenangi 26 kerusi daripada 191 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, merupakan satu yang mendukacitakan. Kita perlu teliti dan lihat, apakah sebab dan punca berada dalam keadaan yang sebegini rupa.

“Akibat dari kekalahan teruk UMNO pada PRU14 dan PRU15, akar umbi UMNO dan orang Melayu mula berasa sangsi dengan kepimpinan UMNO,”  katanya ketika berbahas mewakili UMNO Negeri Johor pada Perhimpunan Agung UMNO, di sini hari ini.

Soalnya apa yang telah terjadi dengan UMNO dan apa telah terjadi dengan semangat perjuangan dan keramat UMNO sehingga kehilangan kuasa di beberapa buah negeri yang dahulunya ditadbir.

“UMNO kehilangan kuasa pada PRU lalu di negeri-negeri Pantai Timur seperti, Terengganu dan Kelantan bahkan juga negeri-negeri di Utara seperti Kedah dan Perlis.

“Tanpa formula dan naratif politik yang segera dan berkesan, UMNO akan terus kalah kepada Perikatan Nasional dalam memikat hati orang Melayu di kawasan-kawasan Melayu,” ujarnya.

Jelasnya, UMNO dilihat bukan lagi parti untuk Melayu kebanyakan dan bukan lagi parti untuk Melayu yang biasa-biasa.

“UMNO dilihat sedang dan telah digunakan oleh segelintir pemimpin untuk mencapai kehendak politik mereka yang luar biasa.

“Kerana itu kita perlu kembalikan perjuangan UMNO demi masa hadapan agama, bangsa dan negara kita,” tegasnya. – UMNO Online



@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.