Demi Masa Hadapan UMNO, ‘Post-mortem’ Mesti Jujur – Fadzli

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Wakil UMNO Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata perkara asas yang UMNO mesti lakukan adalah membuat ‘post-mortem’ dengan penuh kejujuran selepas peristiwa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Raub itu, ia perlu dilakukan sebelum bertindak meneroka strategi dan pendekatan terbaik bagi memastikan UMNO diterima kembali oleh rakyat khususnya orang Melayu.

“Pertama, UMNO mesti lakukan ‘post-mortem’ yang jujur dan ikhlas, yang benar-benar menonjolkan di manakah kelemahan dan kesilapan, apakah kekurangan dan kesalahan.

“Bukannya ‘post-mortem’ yang dilakukan secara berlapik-lapik, yang berkias-kias penuh pantun-pantun puisi. Jika kita benar-benar sayangkan parti kita mesti bersedia untuk dikritik dan ditegur malah mesti fikirkan mekanisme baharu yang lebih objektif, strategik dan praktikal untuk mengukur nilai dan prestasi,” kata Exco Kerajaan Negeri Pahang itu.

Fadzli berkata demikian ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Begitu juga tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong itu, untuk memastikan kelangsungan parti bagi masa hadapan, UMNO mesti melabur secara besar-besaran dalam data dan penyelidikan.

“Tidak rugi mengutamakan ilmu apatah lagi bagi parti yang berteraskan masyarakat yang sedang berdepan dengan enigma dan dilema.

“Dengan persoalan yang dihadapi masyarakat hari ini, UMNO mesti jadi parti yang mempunyai idea dan jalan penyelesaian seperti cadangan tangani kos sara hidup, membangunkan ekonomi dan isu perubahan iklim.

“Malah dengan dengan data dan penyelidikan kita dapat mendalam banyak perkara kritikal misalnya mengapa orang Melayu yang melihat diri mereka sebagai progresif dan tinggal di bandar menolak UMNO habis-habisan. UMNO mesti mempunyai pengkalan data yang moden dan lengkap,” katanya.

Pesannya lagi, UMNO tidak boleh terus berada di dalam keadaan selesa kerana kini berhadapan dengan pesaing yang semakin menambat hati pemegang taruh yang sama.

“Semakin banyak parti Melayu yang muncul dan berusaha dengan gigih menjadi pengganti UMNO. Ada yang mahu membenam, menguburkan UMNO.

“Ini bermakna UMNO bukan sahaja mempunyai pesaing yang semakin besar, tetapi semakin banyak dan pelbagai,” katanya.

Justeru gesanya, UMNO mesti sedar ramai rakyat di luar sana membayangkan masa depan mereka tanpa UMNO, semakin percaya tidak perlukan UMNO untuk wakili mereka dan perkara ini jika tidak diberikan secara serius dan jujur akan memberi kesan yang sangat buruk kepada UMNO.

Dalam perkembangan semasa, Fadzli juga berharap agar kes semakan kehakiman bekas Perdana Menteri dan Presiden parti Datuk Seri Najib Razak pada 19 Jan ini mendapat keadilan dan kebenaran pada tempat yang sepatutnya.

“Setelah dinafikan hak untuk menukar peguam bela, disekat untuk mengemukakan bukti-bukti baharu dan dihukum oleh hakim yang ada konflik kepentingan.

“…lakukanlah dengan benar agar kedaulatan undang-undang negara sentiasa dijunjung tinggi,” katanya yang berkata banyak jasa Najib kepada parti dan negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.