UMNO Terus Melangkah Kehadapan, Peralihan Anjakan Lingkungan Paradigma – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menekankan bahawa UMNO terus melangkah ke hadapan perlu ada peralihan lingkungan anjakan paradigma pemikiran dan berstrategi dalam tindakan.

Beliau yang memberikan laporan kepada para perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022, hari ini merumuskan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 disebabkan lima perkara.

“Saya rumuskan ada lima perkara yang terjadi kenapa kita kalah iaitu salah guna data peribadi, wang kepada pengundi, orang muda di manipulasi ada maklumat yang tak betul dan ada yang diperguna, pemimpin UMNO dizalimi, dan tentunya ada salah kita sendiri apabila sabotaj dalaman parti,” katanya.

Berkaitan hal ini beliau memberikan rumusan analisa PRU15 dalam serangkap pantun iaitu:

Puas sudah, mencari azimat,
Terjumpa pula, keris dan parang;
Puas sudah, menabur khidmat,
Emas juga, dipandang orang.

“Kita telah mengadakan pelbagai aktiviti siri himpunan bersama pengarah pilihan raya, siri himpunan solidariti PM dan Presiden, sesi libat urus 191 bahagian, program Wanita, Pemuda, Puteri dan bahagian.

“Kita ada jentera PRU cawangan, PDM, Bahagian pelbagai portfolio PRU, Pumas, BNComms, JR dan Veteran, parti komponen, Friends of BN, NGO.

“Rekod sebelum PRU kita menang cemerlang di tujuh PRK, menang 21/28 di PRN Melaka dan menang 40/56 di PRN Johor.”

Beliau juga memaklumkan berkaitan pemetraian perjanjian Kerajaan Perpaduan pada 16 Dis 2022 lalu.

“Persefahaman kerjasama gabungan untuk mewujudkan masyarakat adil, demokratik dan yang penting Islam, raja, bahasa didaulatkan.”

Dalam usaha melangkah terus ke hadapan, beliau menekankan perlu dilaksana perancangan.

“Sekarang terus aktif melaksana keahlian, latihan, kesetiaan, aktif media sosial (aplikasi yang terkini), utamakan kepentingan parti, teruskan berkhidmat kepada rakyat .

“Formula mujarab SMPPSS iaitu siang malam pagi petang subuh senja, berusaha untuk KBSMM iaitu kenduri, berjemaah, sakit, malapetaka, mati cuba hadiri.

Dalam laporannya beliau turut memaklumkan keahlian UMNO 3,425,893 orang, 22,120 cawangan, 191 bahagian dan yang penting adalah kualiti ahli. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.