Gerai Jualan Meriahkan Suasana PAU 2022… Bantu Jenama Tempatan Lebih Dikenali

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Gerai jualan yang menghiasi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ternyata membantu untuk memeriahkan suasana persidangan selain menghidupkan semula tradisi itu sebelum COVID-19 melanda negara.

Pengasas jenama Daun, Syazana Mohamad, 38 berkata, harapan beliau menyertai gerai jualan sempena PAU ini adalah untuk membuatkan jenama yang diasaskannya lebih dikenali selain menampilkan keunikan pada barang jualannya.

“Alhamdulilah, ini kali pertama saya membuka booth di PAU. Saya baru sahaja mula berniaga secara kecil-kecilan. Jadi, saya mahukan agar produk saya lebih dikenali ramai.

“Kami meniagakan tudung yang bermotifkan mercu tanda setiap negeri seluruh Malaysia. Menariknya, corak yang terdapat pada tudung ini dihasilkan oleh seorang kartunis terkenal, Azmi Hussin.

“Sebenarnya, peluang membuka booth di PAU ini membantu jenama kami lebih dikenali. Ini kali pertama kami menjalankan perniagaan secara bersemuka. Sebelum ini secara atas talian sahaja,” katanya kepada UMNO Online.

Di booth yang sama, pengasas barang perhiasan wanita jenama Cool.Lyt turut menampilkan kelainan apabila menggunakan kulit asli sebagai bahan penghasilan subang sehingga ke gelang.

“Di booth ini, kami menjual perhiasan wanita yang dihasilkan secara ‘handcraft’ daripada kulit asli. Semua kita buat sendiri daripada subang sehinggalah ke gelang. Jemputlah datang ke booth 68,” katanya kepada UMNO Online.

Manakala Eksekutif Jualan Bliese, Hairul Nizam Rosman, 38 turut menzahirkan rasa syukur apabila gerai jualan mereka mendapat sambutan hangat daripada para perwakilan.

“Alhamdulilah, kami amat gembira dan hasil jualan amat menggalakkan sebab daripada pagi sampai ke petang kami tidak berhenti-henti menerima kunjungan daripada para pembeli. Banyak pengalaman yang kami belajar di sini.

“Untuk gerai kami, kami ada menjual pelbagai jenis wangian seperti wangian untuk badan, kereta, rumah dan ada juga untuk pasaran industri. Kepada perwakilan yang belum sampai di gerai kami, boleh singgah booth Bliese bernombor 23. Boleh cuba bau wangian, boleh juga dapatkan pewangi kereta edisi istimewa kami iaitu UMNO,” katanya kepada UMNO Online.

Sebanyak 95 buah gerai dibuka sepanjang PAU berlangsung dan pelbagai produk jualan diniagakan seperti tekstil, produk kesihatan, bahan bacaan, usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), makanan serta minuman. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.