Ahmad Zahid Garis Lima Hala Tuju Baharu Untuk UMNO Bergerak Ke Hadapan

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan lima hala tuju baharu bagi membolehkan parti bergerak ke hadapan, sesuai dengan perubahan sikap, pemikiran dan landskap politik negara.

Beliau berkata hala tuju pertama adalah menjalin kerjasama strategik dengan mewujudkan persefahaman dengan rakan-rakan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan dalam mendepani realiti politik baharu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata menerusi pendekatan itu, UMNO boleh melebarkan jaringan memandangkan realiti ketika ini, parti tidak boleh bersendirian.

“UMNO berpendirian (bahawa) BN perlu diberikan nafas baharu dengan sifat keterangkuman. UMNO perlu menjadi wadah kepada pertubuhan bukan kerajaan Melayu sebagai rakan sekutu. Kita juga perlu mendekati kumpulan-kumpulan ulama yang saya percaya ramai di luar sana bersedia untuk bersama dengan kita.

“Malah usul penubuhan Majlis Ulama UMNO yang pernah dibuat suatu ketika dahulu perlu disegerakan pelaksanaannya,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata hala tuju kedua adalah menyegarkan parti dengan pemugaran idea serta pengkaderan yang efektif, sesuai dengan perubahan minda serta keutamaan rakyat.

Beliau berkata UMNO harus tampil sebagai sebuah parti yang bergerak dengan idea.

“Kita mesti mewujudkan Institut UMNO sebagai sebuah badan pemikir, seperti yang dilontarkan oleh Ketua Puteri UMNO (Datuk Zahida Zarik Khan) dalam ucapan dasarnya. Kita akan menjemput cendiakawan Melayu serta pakar pelbagai bidang bagi mencanai pemikiran di luar daripada kotak kebiasaan kita sebagai sebuah parti pejuang kemerdekaan di milenial baharu ini,” katanya.

Dalam aspek pengkaderan, Ahmad Zahid berkata beliau mahu memastikan idealisme perjuangan terus ditanam dan menjadi pedoman setiap ahli UMNO selain mahu parti didukung dengan prinsip dan disiplin jamaah yang memastikan keputusan dibuat secara bersama dan tanggungjawab dipikul bersama.

Hala tuju ketiga pula merujuk kepada keperluan untuk melabur dalam teknologi dan komunikasi masa hadapan bagi memastikan parti tidak ketinggalan dalam kecanggihan serta kepantasan perhubungan kerana UMNO mesti menguasai teknologi semasa dan terkini sebagai saluran penyampaian, melampaui wadah media sosial sekarang.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata selain itu, kempen dan ceramah bersemuka perlu berubah kepada kaedah secara langsung (live) di media sosial dan adalah tidak mustahil menerusi teknologi metaverse mampu menarik minat anak muda.

Hala tuju keempat pula melibatkan gerakan merombak gerak kerja jentera parti secara konvensional kepada pendekatan berasaskan data dan analisis di semua peringkat struktur parti, sesuai dengan demografi pengundi dan psikografik rakyat yang melibatkan kajian keperibadian, nilai, pendapat, sikap, minat dan gaya hidup.

Bagi hala tuju kelima, Ahmad Zahid berkata parti mesti menggilap dan mengetengahkan muka-muka baharu sebagai wajah hadapan parti selain usaha meningkatkan kualiti ahli serta menggilap potensi mereka untuk mewarisi kepimpinan parti dan negara perlu sentiasa berjalan.

“Kita mahu pada pilihan raya umum dan pilihan raya negeri yang akan datang, kita mesti membariskan muka-muka baharu sebagai wajah hadapan parti. Kita akan membuktikan wajah segar UMNO yang dapat membawa dan memenuhi harapan rakyat dan kita juga tidak akan melupakan mereka yang berpengalaman untuk turut dipertimbangkan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.