Mesyuarat Khas MKT: Pengerusi Tetap Lapor Persiapan PAU 2022

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam ini adalah untuk mendengar laporan daripada Pengerusi Tetap mengenai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadualkan bermula esok.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat khas ini merupakan satu kelaziman ketika PAU berlangsung.

“Memang menjadi kelaziman mesyuarat khas ini diadakan oleh MKT untuk mendengar laporan daripada Pengerusi Tetap mengenai persiapan PAU setiap tahun.

“Malam ini, Pengerusi Tetap telah membuat laporan tentang persiapan PAU esok, termasuk laporan daripada wakil-wakil Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semasa persidangan sayap-sayap siang tadi. Persiapan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT akan datang,” katanya sejurus selepas mesyuarat khas MKT.

PAU akan diteruskan esok dengan upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka diikuti Ucapan Dasar Presiden di Dewan Merdeka.

Pada hari yang sama turut akan berlangsung PAU Khas bagi usul Pindaan Perlembagaan pada jam 11.00 pagi.

Siang tadi, telah berlangsung persidangan bagi Wanita, Pergerakan Pemuda UMNO dan Pergerakan Puteri UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.