Kebangkitan UMNO Dengan Diri Sendiri, Bukan Berpaut Pada ‘Dahan’ Lain – Shahril

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan mengingatkan bahawa kekuatan UMNO untuk bangkit bukanlah berpaut kepada mana-mana ‘dahan’ yang lain sebaliknya kebangkitan itu adalah atas kaki sendiri.

Menurut beliau perkara itu perlu diperhalusi oleh seluruh ahli Pemuda khususnya sesuai dengan jiwa pergerakan itu yang bersemangat dan yang akan mewarisi UMNO sebuah perjuangan.

“Benar Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) kata semalam politik ini dah rencam… dan kita mesti ada kekuatan sendiri. Kebangkitan UMNO bukan melalui PH (Pakatan Harapan) atau PN (Perikatan Nasional). Kebangkitan UMNO mestilah menerusi UMNO sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Shahril seterusnya menegaskan jika masing-masing bermimpi bahawa kebangkitan parti dengan berpaut kepada dahan lain, ianya bukanlah strategi demi kelangsungan parti.

“Kalau kita mimpi jalan kebangkitan tidak payah reform apa-apa, tidak payah buat apa-apa dan menang berpaut dengan kekuatan orang lain maka kita tidak ubah dengan mentaliti ‘shortcut’ yang akan merawat sakit kita.

“Saya tidak kata tidak boleh bekerjasama… bukankah telah diceritakan kenapa ditubuhkan kerajaan. Teruskanlah tetapi kerjasamalah dengan kesedaran dan ini bukan ubat sebenar. Ianya perencanaan taktikal untuk satu ketika tetapi ianya bukan strategi kelangsungan parti yang saya minta pemuda fikir-fikirkan.

“Kerana kuasa atau kerusi yang dimenangi atas ehsan parti lain tanpa reform imej tidak akan memperkuatkan parti kita tetapi ia hanya akan menambahkan kebergantungan parti kita kepada parti lain dan tanpa reform kita menempah kekecewaan yang lebih besar esok.

“Jiwa pemuda jiwa bersemangat, biar calar balar jiwa Pemuda tidak akan lekang teroka dan cari ubat sembuhkan parti kita ini. Maka bangkitlah saudara-saudara sucikan niat kita, setia bukan kepada mana-mana individu tetapi kepada UMNO sebuah perjuangan,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.