Beri Kepercayaan Kepada Kepimpinan Parti Dalam Kabinet, Bawa Suara Dan Mandat Ahli UMNO

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berharap ahli parti khususnya Wanita UMNO untuk memberikan keyakinan kepada pemimpin parti yang berada dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Katanya, ini termasuk isu-isu semasa rakyat yang dibawa oleh para pembahas sepanjang Perhimpunan Agung Wanita UMNO, hari ini.


“Saya menghargai pandangan dan pendapat para perwakilan sekalian. Namun, kita kena sedar yang sekarang ini, kita bukanlah memerintah secara total. Walau bagaimanapun, kita akan bawa perkara ini untuk perhatian pihak kerajaan.

“Berilah kepercayaan kepada kepimpinan kita yang berada di dalam barisan kabinet untuk membawa suara dan mandat ahli UMNO dari akar umbi,” katanya pada ucapan penggulunggan sebentar tadi di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menambah persidangan ini membawa signifikannya yang tersendiri dan berharap para perwakilan untuk memanfaatkannya dan berusaha sebaik mungkin dalam menjalankan tugas di kawasan masing-masing.

Jelas beliau, ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk saling salah-menyalah antara satu sama lain kerana tugas penting dan utama adalah menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Ini bukanlah masa untuk kita mencari salah, menuding jari, dan bertelagah sesama sendiri. Ini masa bekerja! Inilah masanya kita mengambil langkah sederap! Cabaran pilihan raya di enam negeri, masih belum selesai.

“Sebaik sahaja pulang di kawasan masing-masing, ada tugas besar yang perlu kita lunaskan. Peganglah kepada lima pembaharuan penting yang telah saya gariskan ketika ucapan dasar awal pagi tadi, agar UMNO terus kekal relevan kepada rakyat dan negara.

“Paling penting sekarang, berjuanglah… kembalilah kita kepada rakyat. Kita datang dari rakyat, berkhidmat untuk rakyat dan semestinya mesti menjuarai segala isu berpaksikan rakyat! Lalu, atas nama Wanita UMNO demi kelangsungan perjuangan dan parti tercinta ini, marilah kita bersetia teguh bersatu,” tegas beliau.

Terdahulu Noraini menerusi ucapan dasarnya pagi tadi menggariskan lima pembaharuan penting yang mesti segera dilaksanakan antaranya, pembersihan dalaman parti harus dilakukan secara total tanpa kompromi.

Manakala kedua, gerakan berstrategi perlu diterapkan kepada Wanita dengan memberi didikan dan kefahaman politik matang dengan wajib menyegerakan penubuhan Akademi Kepimpinan Wanita.

“Ketiga, penguasaan media sosial kita perlu lebih visible, effective dan prominent melalui penubuhan Unit Media Digital di setiap bahagian.

“Keempat, Skuad Sayang perlu dilihat lebih jelas sebagai agen penghubung kepada masyarakat dengan mewujudkan agenda kesukarelawanan.

“… yang kelima, peranan dan gerak kerja Jalinan Rakyat diperkemas seiring dengan perkembangan teknologi dan budaya setempat dan semasa,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.