UMNO Tewas Kerana Diserang Hebat Dalam Perang Kognitif – Mohamad

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas di dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akibat diserang hebat dalam perang kognitif.

Ujar Timbalan Pengerusi BN itu, perang kognitif yang dilancarkan oleh pihak lawan terutama Perikatan Nasional (PN) secara konsisten menggunakan ruang maya sebagai lubuk untuk menanam sentimen jahat terhadap UMNO seperti UMNO rasuah, kotor, gila kuasa dan segala kata nista yang menjengkelkan.

“Tidak cukup dengan itu mereka melabel pemimpin kita kleptokrat, tidak bermoral dan segala macam lagi tohmahan lain yang mampu mencemar kepimpinan kita.

“Semuanya disampaikan dalam pelbagai bentuk grafik, video dan banyak lagi naratif lain. Dipancar dan disebar luaskan melalui platform Tik Tok, Instagram, Facebook, WhatsApp dan Twitter.

“Di ambang pilihan raya, strategi ‘cognitive war’ ini telah mereka giatkan berlipat kali ganda. Kita juga diserang hebat, oleh ‘cybertroopers’, dari pelbagai arah,” katanya lagi.

Mohamad berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini malam ini.

Tambah Mohamad lagi, motif mereka adalah untuk mempengaruhi pemikiran dan mengubah keyakinan masyarakat terutamanya orang Melayu bahawa UMNO tidak layak menjadi wakil mereka.

“Sehari demi sehari ia menjadi kepercayaan dan keyakinan rakyat bahawa UMNO itu sinonim dengan segala kecurangan dalam politik.

“Inilah, yang Perikatan Nasional lakukan dengan amat berkesan. Mempengaruhi golongan muda dan pengguna media sosial, seperti Tik Tok, dan Instagram dengan melancarkan perang besar-besaran dengan ‘content’ yang amat toksik untuk mengajak orang Melayu, membenci, serta meninggalkan UMNO. Mereka belanja beratus juta,” tegasnya lagi.

Seterusnya ulas Mohamad yang juga Menteri Pertahanan, ternyata strategi ‘perang kognitif’ mereka sangat berjaya.

“Tsunami Melayu melanda utara dan pantai timur semenanjung dengan pengundi Melayu berduyun-duyun menolak UMNO.

“Kita tewas, tanpa memenangi satu kerusi Parlimen pun di Kelantan, Terengganu dan Perlis. Kita turut gagal mempertahankan semua kerusi Parlimen di Kedah, termasuklah yang disifatkan sebagai kerusi selamat seperti Padang Terap.

“Di Perak, kita tewas dengan dahsyat dan demikianlah impak ‘perang kognitif’ terhadap kita,” katanya.

Tambah memeritkan ujar beliau, UMNO dan BN jauh ketinggalan dalam memanfaatkan tren ‘politik digital’ itu.

“Di saat pihak lawan giat berkempen dan ‘membaham’ kita di media sosial, kita gagal mempertahankan diri untuk menolak segala tuduhan fitnah dan kenyataan palsu yang dilemparkan.

“Kita juga gagal membentuk karisma dan pengaruh yang kuat di ruang maya. Kita tewas kerana gagal beradaptasi dengan kepentingan menggunakan teknologi dan maha data (big data) dalam rencana pilihan raya kita,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.