Perbahasan Jurucakap Akan Bermula Selepas Perhimpunan Agung Khas – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Pengerusi Jawatankuasa Usul UMNO dan Jurucakap Negeri-negeri bagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengharapkan agar jurucakap negeri dan sayap dapat memberikan pendapat yang bernas ketika perbahasan. 

Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO menjelaskan persidangan ini akan bermula selepas diadakan Perhimpunan Agung Khas UMNO.

“Persidangan perwakilan UMNO di peringkat tertinggi, jurucakap akan mula selepas solat Jumaat kerana pada waktu pagi ada ucapan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan diikuti dengan Perhimpunan Khas.

“Tahun ini akan dibenarkan kepada ketua-ketua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO untuk menggulung dan Naib-naib Presiden juga diberi peluang untuk menyampaikan seterusnya Timbalan Presiden dan Presiden UMNO.

“Suka atau tidak suka parti yang sudah berusia lebih 70 tahun ini mahukan dalam keadaan yang baik, sihat dan segar walau apa-apa yang terjadi dan penghujungnya akan membawa kebaikan bukan kita sahaja tetapi untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis taklimat jurucakap-jurucakap negeri di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badrudin Amiruldin; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Aguung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dalam masa yang sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pada tahun ini ketua penerangan UMNO bahagian dan sayap-sayap telah dijemput sebagai pemerhati.

“Perwakilan UMNO bertambah pada tahun ini sebagai pemerhati daripada ketua-ketua penerangan UMNO bahagian dan sayap-sayap serta menjadi pemerhati di ketiga-tiga persidangan dan PAU.

“Dalam persidangan ini ada Perhimpunan Agung Khas dalam PAU pada hari Jumaat dan Naib Presiden UMNO akan membentangkan dua perkara mengenai perpindahan parti dan ketua-ketua penerangan bahagian-bahagian menjadi ‘automatik’ perwakilan pada tahun-tahun akan datang.

“… dan selepas pindaan akan membolehkan ketua penarangan sayap itu menjadi perwakilan pada PAU akan datang,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.