Pendaftaran Pembuka Tirai PAU 2022… Semangat Perwakilan Teruskan Perjuangan

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Pendaftaran perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO membuka tirai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang dijadualkan akan berlangsung selama empat hari.

Bermula jam 9.00 pagi, para perwakilan yang memakai baju berwarna merah tiba di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sebagai manifestasi untuk menyambung perjuangan dengan melibatkan bahagian-bahagian UMNO dari seluruh negara.

Pada malam ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan akan menyempurnakan majlis perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO bertempat di Dewan Merdeka.

Menyusul keesokkan harinya, ketiga-tiga sayap UMNO akan melaksanakan persidangannya secara serentak dan berasingan dengan Wanita di Dewan Tun Razak 4, Pergerakan Pemuda di Dewan Merdeka serta Pergerakan Puteri di Dewan Tun Dr Ismail.

Perhimpunan ini akan diteruskan pada 13 Januari dengan ucapan dasar dan perasmian oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Perhimpunan Agung Khas bagi meminda Perlembagaan parti.

PAU akan diakhiri dengan sesi penggulungan pada hari Sabtu di Dewan Merdeka dan disertai oleh semua para perwakilan.

Terdahulu PAU 2022 sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember bagaimanapun ditangguhkan kerana bertembung dengan cuti persekolahan.

Penganjuran kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menyaksikan kehadiran ketua penerangan bahagian dan sayap selaku pemerhati khas.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ini kerana, ketua penerangan memainkan peranan penting di bahagian masing-masing dalam memberikan penjelasan di peringkat akar umbi berkenaan persidangan PAU. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.