PAU 2022 Solusi UMNO Depani Masa Hadapan – SUA

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 kali ini tentunya akan menyentuh kepada persiapan UMNO dalam mendepani masa hadapan parti.

Katanya ini penting selepas UMNO melalui pelbagai situasi luar biasa terutama Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Fokusnya bagaimana kita ingin melangkah ke hadapan, apa yang kita boleh pelajari daripada PRU15 walaupun telah menang dalam tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk dua Pilihan Raya Negeri (PRN) kesemuanya adalah di bahawa pentadbiran Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, namun masa PRU15 tidak dapat mengulangi kejayaan tersebut.

“Jadi tentunya ada sebab luar biasa yang berlaku hingga menyebabkan tewas, hanya 30 kerusi yang ada iaitu 26 campur 4 daripada komponen Barisan Nasional (BN) jadi saya ingin dengar pandangan serta ulasan kenapa wujudnya situasi luar biasa ini serta punca untuk diperbaiki pada masa hadapan.

“Persiapan untuk menghadapi PRN di enam negeri, tentunya akan dibawa oleh pembahas tiga peringkat mulai esok manakala hari Jumaat dan Sabtu daripada semua negeri dan wakil sayap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Laman Media sempena PAU 2022 bagi menempatkan seramai 603 petugas media tempatan serta antarabangsa.

Ahmad sebelum itu juga menemui Ketua-ketua Pengarang sebagai meraikan kehadiran mereka ke persidangan ini sambil melakukan perbincangan berkenaan isu-isu semasa negara.

Mengulas lanjut berkenaan PAU 2022, Timbalan Menteri Kewangan itu juga berkata beliau percaya pembahas akan menyentuh berkenaan pemilihan parti.

“Tentunya ada yang akan menyentuh etika, tarikh pemilihan parti di semua peringkat pemilihan cawangan, bahagian, Majlis Kerja Tertinggi yang hendaklah diadakan sebelum 19 Mei kerana 19 Nov 2022 kita buang undi tempoh dalam enam bulan itu,” ujar beliau.

Beliau juga memaklumkan bahawa PAU 2022 ini menyaksikan kehadiran seramai 2,838 perwakilan daripada seluruh negara.

Ahmad berkata PAU 2022 ini juga seperti kelaziman hanya akan dihadiri oleh parti-parti komponen BN iaitu MCA, MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), enam parti daripada Friends Of BN, Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) dan Veteran UMNO . – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib