Persidangan UMNO Bawa Agenda Baharu Dalam Penyatuan, Dukung Institusi Parti – Tengku Haphiz

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pada kali ini merupakan medan muhasabah terbaik untuk membawa agenda baharu untuk parti selepas menghadapi kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berpendapat, ahli dan akar umbi perlu menerima kekalahan tersebut dengan hati yang terbuka serta bersatu padu.

“PAU kali ini adalah medan muhasabah terbaik untuk bawa agenda baharu kepada parti. Seluruh ahli perlu terima kekalahan dan asas penyelesaian adalah UMNO tidak boleh lagi berpecah-belah.

“Keutamaan mesti dukung institusi parti seterusnya baiki kelemahan dalam pencapaian cerita benar kepada rakyat. Jangan biarkan fitnah dan adu domba dari parti lawan yang terus menerus membantai pimpinan utama parti.

“Dalam konteks ini, parti dan akar umbi perlu memperkasakan pasukan media sosial,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Tengku Haphiz, UMNO perlu membawa agenda perubahan dalam Barisan Nasional (BN) kerana cabaran PRU ke-16 lebih besar berbanding PRU ke-15.

“UMNO perlu bawa agenda perubahan dalam BN. Mungkin perlu jenamakan semula BN dengan penyertaan yang lebih meluas dan bersifat futuristik.

“Oleh demikian, akar umbi perlu diberi kefahaman tentang betapa pentingnya perubahan dan ia mesti dibuat di semua peringkat termasuk cawangan.

“Cabaran PRU ke-16 lebih besar berbanding PRU ke-15. Takkan nak biarkan 30 kerusi jadi tiga kerusi kalau kita tidak berubah?” katanya lagi.

Dalam pada itu, Tengku Haphiz turut berharap agar semua perwakilan PAU menerima realiti yang berlaku dan bersama-sama mendukung institusi parti dengan bersatu-padu sesama ahli.

“Pesanan saya kepada semua perwakilan, kita perlu redha dengan kekalahan dan berusaha untuk melakukan perubahan termasuk melalui tindakan dan cara berfikir.

“Kita perlu bersepakat mendukung institusi parti dan bersatu padu. Jangan wujudkan perpecahan dalaman lagi,” katanya lagi.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 11 hingga 14 Januari 2023.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, turut dijadualkan berlangsung dalam PAU 2022 adalah Perhimpunan Agung Khas pada hari Jumaat. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.