PAU 2022: Ahli UMNO Harus Bersama Pulihkan Kembali Prestasi Parti – Sharkar

KUANTAN, 11 Jan – Mana-mana parti politik di negara ini sudah pasti ada pasang dan surutnya dan ia mengikut peredaran zaman.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata sudah pasti kepimpinan tertinggi UMNO akan mencari jalan yang terbaik bagi mengatasi kemelut yang terjadi selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

“Dalam sesebuah parti politik atau dalam sesebuah kerajaan sudah pasti ada turun dan naik. Kali ini UMNO berada dalam keadaan yang bawah dan kita kena sama-sama berfikir bagaimana untuk memulihkan kembali.

“Kita tidak mahu UMNO menjadi seperti parti-parti yang ada di negara-negara lain yang kemudiannya ianya terus lenyap,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Dalam masa yang sama kata Sharkar lagi mengenai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bakal berlangsung dalam minggu ini mengharapkan agar perwakilan yang hadir dapat mendengar dengar teliti apa yang akan dibawa oleh jurucakap-jurucakap negeri.

“Saya berharap perwakilan UMNO dapat mendengar pendapat dari jurucakap-jurucakap negeri yang mereka ini ada kaedah dan cara untuk mengembalikan UMNO sebagai parti dominan selepas PRU ke 15 ini.

“Apakah harapan UMNO? Bagaimana UMNO hendak kembali menjadi parti dominan semula kerana hanya ada 30 kerusi Parlimen sahaja bagi BN atau pun 26 kerusi Parlimen dari UMNO. Ini semuanya akan diolah oleh jurucakap-jurucakap negeri-negeri yang mereka mempunyai melalui proses pilihan raya ke 15,” jelas beliau.

Tambah Sharkar merasa yakin bahawa aspirasi yang akan dibawa oleh jurucakap negeri akan menjadi tumpuan bagi semua ahli UMNO. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan