Majlis Penghargaan Skuad Sayang: Ahmad Zahid Doakan Skuad Sayang Terus Laksana Amal Kebajikan

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar Skuad Sayang Kebangsaan terus berjaya dalam melakukan amal kebajikan kepada rakyat.

Jelasnya, Skuad Sayang perlu lebih sensitif bukan sahaja terhadap bencana yang menimpa bahkan kebajikan dan kerja-kerja amal yang berterusan.

“Saya berdoa agar Skuad Sayang ini terus berjaya dan sensitiflah bukan sahaja terhadap bencana yang berlaku, bahkan kebajikan rakyat dan kerja-kerja amal secara berterusan.

“Tadi, terdapat beberapa pengumuman pelantikan baharu dan saya mengharapkan insan yang telah dipilih itu menjalankan tugas sebaiknya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Penghargaan Skuad Sayang di Pusat Dagangan Dunia (WTC), petang tadi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Pesuruhjaya Sukarelawan Skuad Sayang dan Komanden Skuad Sayang baharu yang telah dilantik.

“Setiap tahun kita berkumpul di sini dan setiap tahun juga pelbagai aktiviti kita laksanakan. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ketua Pesuruhjaya Sukarelawan Skuad Sayang dan Komanden Skuad Sayang yang baru dilantik.

“Ucapan tahniah juga kepada Penasihat Skuad Sayang Kebangsaan, Yang Mulia Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin yang berucap tadi. Saya yakin bahawa ucapan itu adalah daripada hati dan harapan beliau itu harus ditunaikan oleh kita semua,” katanya lagi.

 

Sebagai penutup kepada Majlis Penghargaan Skuad Sayang 3K Kebangsaan, Ahmad Zahid turut menyarungkan jaket kepada Komanden Skuad Sayang baharu iaitu Puan Hisyam Suhaili dan Ketua Pesuruhjaya Sukarelawan Skuad Sayang, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

Skuad Sayang ditubuhkan pada tahun 2009 bagi menyahut saranan Presiden ketika itu, Datuk Seri Najib Razak yang mahu melihat adanya peningkatan semangat sukarelawan dalam membuat kerja kebajikan dan membantu masyarakat. – UMNO Online