PAU2022: Berhimpunlah Penuh Semangat Ukhuwah, Kembalikan Tekad Berkhidmat Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) diseru untuk bersidang secara sihat dan penuh semangat ukhuwah bukannya berlandaskan kepada emosi dan sengketa.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri turut berharap agar para perwakilan memperbetulkan semula niat menyertai parti keramat iaitu dengan tekad memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan negara.

“Kita bangsa Melayu ini kaya dengan adab susila dan budi bahasa. Akhlak, keterampilan dan pertuturan kita perlu dijaga. Bersidanglah secara sihat dan penuh semangat ukhuwah, bukan berlandaskan emosi dan sengketa.

“Jujurlah kepada perjuangan. Kita betulkan semula niat di hati menyertai parti keramat bangsa ini. Bukan kerana projek, jawatan atau kuasa. Namun, kerana mahu memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, PAU kali ini sudah semestinya ‘panas’ dengan idea perubahan dan pembaharuan yang mungkin bersifat dinamik serta progresif namun masih berlandaskan perjuangan asal parti.

“Pada PAU kali ini, pastinya akan ‘panas’ dengan idea perubahan dan pembaharuan. Mungkin bersifat dinamik, progresif dan bentuk politik yang lebih agresif. Tetapi, kita akan tetap berlandaskan asas perjuangan UMNO, agama Islam, bangsa Melayu dan Tanah Melayu.

“PAU kali ini juga mungkin menyakitkan. Setelah tewas kali kedua, tiba pula musim pemilihan parti. Ianya melambangkan demokrasi itu subur dalam UMNO. Pastinya PAU kali ini akan ada banyak pandangan dan idea demi menyatupadukan UMNO serta membina semula parti yang berdepan prestasi terburuk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Namun saya fikir, UMNO tidak boleh dilihat berpecah lagi dan kita mesti mengawal unsur-unsur keadaan yang menjurus ke arah perpecahan,” katanya lagi.

 

Menurut beliau, harapan akar umbi adalah terlalu tinggi untuk parti keramat itu kembali teguh kerana jasanya kepada rakyat dan negara lebih enam dekad.

“Sudah tentu harapan akar umbi adalah terlalu tinggi untuk UMNO kembali teguh semula di Tanah Melayu ini. UMNO adalah parti keramat bangsa yang sangat berjasa kepada rakyat dan negara. Tiada siapa mampu nafikan fakta ini.

“Harapan akar umbi pastinya mahu melihat UMNO menjadi pilihan majoriti rakyat semula khususnya terus memperjuangkan isu orang Melayu sebagai teras bagi negarabangsa ini. Bukan hanya kuat di dalam parti sahaja, namun ideologi dan pembawaan UMNO mestilah kembali disokong kuat oleh majoriti rakyat di luar parti. Jadi kita tidaklah syok sendiri.

“Kita mesti kembali dilihat ‘seksi’ oleh rakyat khususnya orang muda yang telah menolak kita di PRU ke-15. Pastinya perit ditolak rakyat sebanyak dua kali. Barisan Nasional (BN) hanya tinggal 30 kerusi Parlimen sahaja. Kita tewas lebih teruk berbanding PRU ke-14. Kerana itu harapan akar umbi tertumpu pada agenda perubahan dan pembaharuan parti yang serius. Jika tidak mahu UMNO terus merudum, kita perlu mengutamakan agenda ini. Namun, tidak semestinya kepimpinan sedia ada mesti ditukar ganti kerana itu bukan jalan penyelesaiannya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak para perwakilan untuk membina semula UMNO dan melangkah gagah semula dalam mendapatkan keyakinan rakyat.

“Kepada para perwakilan, ayuh kita bina kembali UMNO di persada politik dan pentadbiran negara.

“Buang yang keruh, ambillah yang jernih. Insya-Allah, UMNO akan terus melangkah gagah mendapatkan semula keyakinan majoriti rakyat yang kini hilang,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.