Raptai PAU Dalam Dewan Merdeka Berjalan Lancar, Kemeriahan Mula Dirasai

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Raptai penuh bagi perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 dan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berjalan lancar di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Bermula pada jam 3.00 petang tadi, raptai ini dikendalikan oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan dan dihadiri oleh kakitangan Ibu Pejabat UMNO selaku urus setia persidangan.

PAU 2022 akan dimulakan dengan perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, diikuti persidangan penuh ketiga-tiga sayap pada keesokan harinya.


Perhimpunan tersebut kemudiannya diteruskan dengan upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka pada Jumaat (13 Januari), diikuti ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Merdeka.

Pada hari yang sama turut akan berlangsung PAU Khas bagi usul Pindaan Perlembagaan pada jam 11 pagi juga di Dewan Merdeka.

Terdahulu PAU 2022 sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember bagaimanapun ditangguhkan kerana bertembung dengan cuti persekolahan.

Penganjuran kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menyaksikan kehadiran ketua penerangan bahagian dan sayap selaku pemerhati khas.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ini kerana, ketua penerangan memainkan peranan penting di bahagian masing-masing dalam memberikan penjelasan di peringkat akar umbi berkenaan persidangan PAU. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.