PAU 2022: Bersama Gembleng Tenaga Demi Kekuatan Parti – Mutalif

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim mengharapkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 sebagai medan mempereratkan ukhuwah dalam kalangan ahli.

Katanya ini kerana perpaduan penting bagi agenda memperkasa parti dalam menghadapi senario politik yang mencabar terutama bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

“Naratif dan fokus sudah tentulah hendak yang terbaik dan mudah untuk bekerjasama menggembleng tenaga dan kekuatan parti untuk kembali.

“Mana tahu dengan izin Allah jikalau kita bekerjasama tidak mustahil PRN negeri tidak lama lagi akan datang di enam negeri dilakukan dengan baik.

“Jadi kita kena fokus dan tunjukkan kepada rakyat UMNO/Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti wadah perjuangan yang selalu memikirkan hala tuju, kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Terdahulu, PAU 2022 yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 24 Disember lalu ditangguhkan kerana tarikh berkenaan bertembung dengan cuti persekolahan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi sidang media berkenaan PAU memaklumkan penganjuran kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menyaksikan kehadiran ketua penerangan bahagian dan sayap selaku pemerhati khas.

Katanya ini kerana, ketua penerangan memainkan peranan penting di bahagian masing-masing dalam memberikan penjelasan di peringkat akar umbi berkenaan persidangan PAU. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.