Memakmurkan Luar Bandar Negara, Fokus Ahmad Zahid

1. Pembangunan luar bandar di Malaysia bukan bertujuan membandarkan wilayah atau kawasan luar bandar. Pembangunan luar bandar bukan proses urbanisasi.

2. Tetapi memastikan luar bandar mencapai tahap kemajuan sesuai dengan acuan kemajuan ukuran standard yang ditetapkan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu dalam melestarikan pembangunan desa.

3. Dengan kata lain proses modenisasi dalam konteks cara berfikir, mengurus hal ehwal ekonomi yang progresif dan sesuai dengan keperluan semasa.

4. Jadi, ukuran kejayaan pembangunan luar bandar tidak pernah berasaskan kepada pencakar langit yang tinggi, deretan bangunan mega, jalan raya bertingkat-tingkat mahupun kawasan perumahan yang sesak dan padat.

5. Sebaliknya, pembangunan luar bandar adalah agenda yang mempunyai fokus dan dimensi tersendiri.

6. Melihat kepada angka-angka statistik ekonomi dan demografi luar bandar Malaysia, ia agak mencemaskan.

7. Pertama, jika dilihat daripada penghijrahan penduduk sejak 10 tahun kebelakangan ini, lebih ramai penduduk kawasan bandar berhijrah ke luar bandar berbanding luar bandar ke bandar.

8. Pada tahun 2020, angka ini adalah 18.1% penghijrahan penduduk dari bandar ke luar bandar berbanding 3.0% luar bandar ke bandar.

9. Ini adalah angka yang menggalakkan kerana dengan penghijrahan penduduk kembali ke luar bandar, bermakna pengalaman kerja, kemahiran dan ekonomi yang lebih inovatif yang diterokai di bandar dapat dibawa ke luar bandar.

10. Ini sepatutnya dapat meningkatkan limpahan ekonomi dan peluang di kawasan luar bandar.

11. Tetapi nampaknya tidak.

12. Ekonomi luar bandar tetap memperlihatkan kesenjangan yang amat tinggi antara kawasan bandar dan luar bandar.

13. Berdasarkan data terkini pada 2019, pendapatan penengah isi rumah luar bandar adalah RM 3,828 berbanding RM6,561 bagi kawasan bandar.

14. Secara perbandingan mudah, bagi setiap RM100 yang diraih penduduk di bandar, penduduk luar bandar hanya mampu meraih sebanyak RM58.

15. Tahun 2019 juga merekodkan kadar kemiskinan yang tinggi di kawasan luar bandar sebanyak 12.4% berbanding kadar kemiskinan keseluruhan Malaysia iaitu 5.6%.

16. Dan kesenjangan ini terus melebar tahun demi tahun.

17. Meminggirkan penduduk luar bandar daripada kebejatan ekonomi Negara yang didorong kemajuan bandar.

18. Data ini tidak mengambil kira tahun 2020 ke atas yang mana kita tahu kesan ekonomi disebabkan wabak covid jauh lebih membarah.

19. Ini adalah sesuatu yang semakin kritikal dan tidak boleh dibiarkan tenat.

20. Sesuatu yang drastik dan radikal perlu dilakukan daripada sekarang jika tidak mahu kawasan luar bandar Malaysia terus ketinggalan.

21. Maka penggal ini, isu kesenjangan, penerokaan potensi ekonomi dan peningkatan taraf hidup luar bandar akan menjadi keutamaan dan fokus saya dalam menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

22. Untuk itu, saya akan menggembleng tenaga dan kudrat kementerian serta agensi-agensinya untuk bersama-sama menyelesaikan segala isu berkaitan desa di Malaysia sepantas yang mungkin.

23. Insha Allah, saya akan mengemukakan pelan tindakan dan KPI Kementerian dalam masa terdekat.

24. Dan Insha Allah, jika kita bersama-sama bersatu hati dan beriltizam, kita akan dapat memakmurkan kembali luar bandar Malaysia.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri / Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.