Kronologi Peristiwa Terbentuknya Kerajaan Perpaduan Malaysia Atas Kebijaksanaan YDP Agong

“Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi”. Demikianlah perumpamaan yang boleh digambarkan apabila masih ada yang mempertikaikan hikmah dan kebijaksanaan Tuanku Yang di-Pertuan Agong menyelesaikan konflik kepimpinan negara dalam tempoh yang singkat.

Sebagai salah seorang kepimpinan tertinggi parti yang berada dalam Dewan Tertinggi BN dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan menyaksikan setiap detik peristiwa yang berlaku, saya kongsikan catatan peribadi kronologi peristiwa yang berlaku sehingga terbentuknya KERAJAAN PERPADUAN MALAYSIA.

1. Pada 20hb November 2022, SPR mengumumkan tiada parti yang memperolehi 50 peratus daripada 219 kerusi dipertandingkan pada PRU-15.
PH = 82
PN = 73
BN = 30
GPS = 23
GRS = 6
Warisan = 3
Lain-lain = 4

2. Berikutan keputusan itu, Istana Negara melalui kenyataan media pada jam 2.00 petang 20hb November memaklumkan YDP Agong telah meminta kerjasama Speaker Dewan Rakyat untuk meminta Ketua Parti dan Ketua Gabungan parti-parti yang mempunyai kerusi yang banyak memaklumkan gabungan parti yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan dan mencadangkan nama Perdana Menteri sebelum jam 2.00 petang pada 21hb November 2022 (Isnin).

3. Pada 21hb November jam 10.00 pagi Pengerusi Barisan Nasional telah memanggil kesemua 30 wakil parti yang menang pada PRU-15 ke Ballroom Seri Pacific bagi satu perjumpaan. Empat wakil BN iaitu Sembrong, Simpang Renggam, Jelebu (demam) dan Kuala Pilah (alasan kesihatan) tidak hadir.

4. Hasil perjumpaan dipersetujui tiga perkara. Pertama menubuhkan Jawatankuasa Perundingan yang dianggotai oleh Pengerusi BN, Timbalan Pengerusi BN, Presiden Parti-Parti Komponen BN – MCA, MIC dan PBRS serta Setiausaha Agung BN bagi berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Keduanya bersetuju meminta Perdana Menteri Caretaker (DS Ismail) untuk menghadap YDP Agong bagi memohon penangguhan bagi membolehkan Barisan Nasional mengadakan rundingan dengan PH dan PH yang mempunyai kerusi yang banyak sebelum membuat keputusan. Ketiga bersetuju mesyuarat Dewan Tertinggi diadakan pada jam 3.00 petang.

5. Jam 11.30 pagi Jawatankuasa Perundingan BN telah bertemu dengan kepimpinan Pakatan Harapan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Seri Pacific bersebelahan PWTC yang secara rasmi mengemukakan tawaran untuk mewujudkan gabungan bagi menubuhkan Kerajaan. Pengerusi BN menyatakan kepada Anwar bahawa BN akan bertemu dengan PN juga sebelum dibentangkan kedua-dua tawaran kepada Dewan Tertinggi BN dan MKT UMNO.

6. Jam 3.00 petang, Dewan Tertinggi dilangsungkan. Perdana Menteri Caretaker menyertai mesyuarat Dewan Tertinggi BN sejurus selesai menghadap YDP Agong. Beliau memaklumkan maklumat daripada Istana Negara bahawa terdapat 10 Ahli Parlimen BN telah menghantar surat sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Ke-10 secara bersendirian. (Berulang lagi ‘Scheme of Thing’ Muhyiddin dan PN mencuri Ahli-Ahli Parlimen BN)

7. Dewan Tertinggi BN membuat keputusan semua yang terlibat perlu menarik semula surat sokongan dengan menandatangani Surat Akuan Bersumpah (SD) baharu untuk membatalkan sokongan mereka kerana tindakan secara bersendirian tersebut melanggar PERJANJIAN antara calon dengan parti dan akuan bersumpah yang lebih awal ditanda-tangani. Perjanjian tersebut jelas menyerahkan mandat mutlak kepada Pengerusi Barisan Nasional selaku Ketua Parti untuk merundingi soal pembentukan kerajaan. Sebarang tindakan memungkiri perjaniian akan memberi implikasi kehilangan kerusi yang dimenangi seiring dengan Akta Anti Lompat Parti.

8. Sehingga tengah malam 21hb November 2022, hanya tiga orang sahaja daripada 10 yang terlibat menandatangani Akuan Bersumpah menarik semula sokongan kepada Muhyiddin.

9. Pada 21hb November 2022 juga, GPS memberikan kenyataan menyokong Perikatan Nasional membentuk kerajaan bersama-sama dengan BN. Kenyataan ini berikutan mereka salah tanggap kononnya Barisan Nasional telah memberikan sokongan kepada Muhyiddin sebagai PM.

10. 22hb November sehingga jam 10.00 pagi belum semua daripada 10 yang memberikan sokongan kepada Muhyidddin menarik semula sokongan mereka.

11. Pengerusi BN selaku Ketua Parti telah melaksanakan haknya seperti mana yang telah dipersetujui oleh semua calon dalam Akuan Bersumpah ketika menerima watikah bertanding, bagi mewakili parti telah menghantar semua dokongan akujanji dan Akuan Bersumpah ke Istana Negara bagi memaklumkan pendirian Barisan Nasional.

12. Setelah jam 2 petang iaitu tamat waktu untuk semua parti dan parti bergabung memaklumkan pendirian kepada YDP Agong, 9 daripada 10 Ahli Parlimen BN telah menandatangani Akuan Bersumpah menarik semula sokongan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin. Semua Akuan Bersumpah berkenaan telah disampaikan ke Istana Negara melalui e-mail seperti disyaratkan. Kemudian baharulah menyusul Akuan Bersumpah terakhir menarik semula sokongan kepada Muhyiddin.

13. Pada masa yang sama berlangsung sekali lagi Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional yang mencapai ketetapan agar semua pihak mengambil tempoh bertenang (cooling of period).

14. Istana Negara mengeluarkan kenyataan memaklumkan disebabkan tiada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti untuk membolehkan seorang Perdana Menteri dilantik. Ini kerana surat Pengerusi BN yang diutuskan telah menafikan mana-mana pihak punya majoriti. Disebabkan itu, YDP Agong telah menitahkan gabungan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan untuk mengadap pada jam 4.30 petang.

15. Setelah selesai majlis menghadap, Perikatan Nasional melalui Pengerusinya, Muhyiddin Yassin memaklumkan beliau menolak titah YDP Agong tentang idea penubuhan Kerajaan Perpaduan. Manakala Pengerusi PH menyatakan persetujuan kepada idea penubuhan Kerajaan Perpaduan.

16. Seterusnya Istana Negara menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional menghadap secara bergilir bermula jam 10 pagi pada 23hb November.

17. Jam 8.00 malam sekali lagi Dewan Tertinggi bermesyuarat dan disusuli dengan perjumpaan dengan semua 30 Ahli-Ahli Parlimen. Hasil mesyuarat dan perjumpaan, Barisan Nasional memohon penangguhan majlis menghadap secara berasingan 30 Ahli Parlimennya. Pemakluman ke Istana Negara dihantar pada tengah malam melalui e-mail.

18. 23hb November 2022 (Rabu), Istana Negara tetap menitahkan Pengerusi BN, Timbalan Pengerusi BN dan Setiausaha Agung BN menghadap Ke Bawah DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong pukul 11 pagi. Dalam sesi mengadap itu, Barisan Nasional memberikan komitmen dan mempersetujui titah YDP Agong supaya sebuah kerajaan perpaduan ditubuhkan. Majlis menghadap kemudian disusuli oleh Ketua-ketua Parti GPS.

19. Istana Negara memaklumkan setelah proses menghadap semua Ketua-Ketua Parti / Parti bergabung selesai, Istana Negara memaklumkan satu Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja akan diadakan pada 24hb November bagi mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam soal perlantikan Perdana Menteri Ke-10 dan pembentukan kerajaan.

20. Pada sebelah malam jam 9.30, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi telah diadakan. Setelah bermesyuarat hampir empat jam yang berakhir 1.30 pagi, MKT UMNO sebulat suara bersetuju menyokong dan menjunjung titah YDP Agong agar sebuah kerajaan perpaduan diwujudkan bersama dengan PH dan bukan diterajui PN. Ini dinyatakan secara jelas melalui kenyataan Media yang dikeluarkan pada pukul 1.45 pagi.

21. 24hb November, selepas Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja, Istana Negara mengumumkan perlantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 setelah gabungan PH, BN dan parti-parti lain berjaya memperolehi majoriti melebihi 112 (PH:82 dan BN:30); dan Istiadat Mengangkat Sumpah telah berlangsung pada jam 5.00 petang.

22. GPS dengan 23 Ahli Parlimen juga mengumumkan perubahan sokongan kepada Anwar Ibrahim untuk bersama PH dan BN. Pengerusi GPS keluar kenyataan kekesalan kerana tertipu dengan mainan pihak tertentu yang menggambarkan BN menyokong menyertai gabungan PN.

23. 23 November, GRS dengan 6 orang Ahli Parlimen pula mengumumkan meninggalkan PN untuk menyokong Anwar Ibrahim dan bersedia diambil tindakan kerana mereka adalah ahli-ahli PPBM.

Kesimpulannya:

1. Tuanku YDP Agong dengan penuh kebijaksanaan dan amat cermat melaksanakan tugas baginda sebagaimana peruntukan Perlembagaan bagi memastikan proses perlantikan Perdana Menteri dilakukan secara adil dan mengambil kira pendirian parti-parti yang terlibat.

2. Tidak timbul sebarang manipulasi oleh pihak Istana jauh sekali cubaan sabotaj mana-mana pihak untuk menafikan hak perlembagaan mana-mana individu untuk membentuk Kerajaan.

3. Proses perundingan yang dilakukan oleh BN dengan PH dan PN dilakukan secara telus dan dibentangkan kepada Dewan Tertinggi BN dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum memutuskan untuk akur dan menjunjung saranan titah YDP Agong bagi membentuk kerajaan perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran rakyat dan negara.

4. Kegagalan ‘Scheme of Thing’ buat kesekian kalinya oleh Muhyiddin dan PN untuk pecah dan perintah Ahli-Ahli Parlimen BN dengan mendapatkan 10 SD yang jelas berniat jahat dan bertentangan dengan Akta Anti Lompat Parti.

5. Dengan keengganan PN (73 Ahli Parlimen) untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, maka kerajaan yang terbentuk merupakan Kerajaan Gabungan Parti-Parti Politik yang diketuai parti-parti teras PH-BN-GPS dengan sokongan parti-parti lain termasuk WARISAN, GRS, PBM, KDM dan BEBAS; yang menjadikan jumlah keseluruhan 148 Ahli Parlimen dengan majoriti 2/3.

#DemiRakyat
#KestabilanDanKemakmuran


DATUK DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

*****************************************