Manifesto BN Komprehensif, Cakupi Setiap Aspek Keperluan Rakyat

Ketiga-tiga parti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sudah pun selesai membentangkan manifesto masing-masing. Alhamdulillah, saya percaya bahawa manifesto BN adalah yang paling komprehensif dan mencakupi setiap aspek keperluan rakyat.

Kita membentangkan konsep baru ‘Assistive Basic Income’ bagi menampung pendapatan isi rumah di bawah RM2,208 sebulan sekaligus menghapuskan kemiskinan mutlak.

Kita menawarkan potongan cukai individu bagi M40 untuk memperkasakan kuasa beli rakyat. Kita memperkenalkan Kumpulan Wang Pengekalan Kerja bagi memastikan jaminan pekerjaan dan membantu majikan mempertahankan sumber manusia syarikat.

Kita memperkenalkan manifesto khusus untuk Wanita melalui tawaran Bank Ekonomi Wanita, Hospital Pakar Wanita, Universiti Awam Wanita, insentif bagi penyediaan waktu kerja anjal untuk ibu bekerja serta 0% cukai pendapatan selama 5 tahun bagi wanita yang mahu bekerja semula.

Kita berani menyediakan laptop percuma untuk B40 agar sistem persekolahan tanpa buku teks dapat dilaksanakan. Kita berikrar memastikan liputan 5G di semua sekolah selesai dalam tempoh 18 bulan. Pendidikan percuma di peringkat tinggi untuk B40, jaminan pendidikan awal kanak-kanak dan asuhan percuma turut kita sediakan.

Malah, kami melawan arus dengan berjanji memastikan wujudnya keseimbangan semula antara pendidikan sains dan sastera. Di saat ada ahli politik berpandangan subjek sejarah, moral dan agama adalah beban, kami pula berpendirian bahawa kemajuan ekonomi mesti seiring dengan jati diri. Tiada guna ekonomi maju, tetapi identiti bangsa menjadi gadaian.

Masih banyak yang belum saya tulis. Janji kepada Sabah dan Sarawak (walaupun BN tidak bertanding di Sarawak), insentif kepada petani dan nelayan, pemeliharaan hak pekerja gig ekonomi, tawaran menyeluruh sistem kesihatan, keselamatan makanan, pemurnian sistem keadilan, pemerkasaan dasar luar dan perdagangan, bantuan kepada orang kelainan upaya (OKU), jaminan pekerjaan anak muda serta usahawan.

Semua ini kami rangkumkan dalam satu manifesto yang insya-Allah cukup lengkap bagi kesejahteraan hidup rakyat.

BN tidak menawarkan bulan dan bintang. BN tidak menjanjikan kehidupan alam kayangan. BN tidak mendondangkan manifesto palsu untuk akhirnya dimungkiri dengan pelbagai alasan.

Tetapi BN menawarkan sesuatu yang telah terbukti mampu dilaksanakan. Semua ini kami yakinkan melalui rekod dan pencapaian pada zaman BN menjadi kerajaan.

Sebab kami sentiasa percaya kepada kebijaksanaan dan timbang tara rakyat. Kami tahu rakyat pasti boleh membezakan antara kaca dan permata. 22 bulan di bawah kerajaan PH amat merosakkan. 17 bulan di bawah kerajaan darurat PN pula amat melelahkan.

Insya-Allah, BN akan memperbaikinya semula dengan kestabilan dan kemakmuran.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.