Janji PH Hapus Tol Untuk PRU15: Boleh Percayakah?

IDEA menghapuskan tol ini adalah idea yang sangat populis. Walaupun asasnya ia satu perkara yang boleh membantu rakyat, tetapi membelanjakan RM400 bilion bagi membayar pampasan ke atas konsesi tol berat sebelah pada zaman PM 4 adalah tidak praktikal.

Sebab RM400 bilion itu akhirnya akan dapat dinikmati sebahagian rakyat yang menggunakan tol sahaja. Rakyat di luar bandar akan mendapat kesan yang sangat minimum.

Sebab itulah kerajaan BN pada zaman Pak Lah memulakan usaha untuk mengambil alih konsesi tol PLUS daripada pihak swasta. Melalui pemilikan bersama antara KWSP dan Khazanah. Dengan cara itu majoriti rakyat akan dapat merasai keuntungan tol ini daripada dividen KWSP mereka.

Walaupun begitu, kerajaan BN juga masih berusaha menghapuskan tol secara perlahan-lahan. Antara 2009-2017 contohnya, terdapat 11 tol berjaya dihapuskan antaranya Metramac, Teluk Kapas, Batu 9, Batu Tiga, Sungai Rasau dan Tol Bukit Kayu Hitam.

Begitu juga pada zaman tersebut kita telah berjaya membina lebuhraya tanpa tol. Antaranya, Lebuhraya Pan Borneo, Lebuhraya CSR yang menghubungkan Kota Bharu-Pahang serta Rawang Bypass yang juga merupakan jambatan tertinggi di Malaysia (60 meter dari tanah).

Lebuhraya CSR membuktikan kerajaan BN zaman PM 5 dan PM 6 sangat menghormati semangat federalisme dengan memberikan peruntukan setara kepada Kelantan walaupun ia diperintah pembangkang.

Tidak wujud diskriminasi sepertimana zaman PM 4. Malah Kelantan diberikan tambahan stesen ECRL, pembesaran Lapangan Terbang, Pelabuhan Tok Bali, LPT 3, bantuan pengurusan bekalan air serta penghapusan hutang melalui pajakan aset air sepertimana negeri-negeri lain.

Semua ini akhirnya mencipta peluang pekerjaan dan memberikan pendapatan kepada rakyat tanpa mengira parti.

Lebuhraya Pan Borneo pula membuktikan keprihatinan kerajaan BN agar negeri-negeri Borneo tidak tertinggal dari segi pembangunan. Ini adalah game changer besar yang akan memberi manfaat terutamanya apabila Indonesia memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan dalam masa terdekat.

BN tidak pernah menjanjikan bulan bintang. BN tidak mampu menjanjikan dunia utopia yang serba sempurna. Kami tidak akan sesekali berbuat begitu.

Kami hanya akan menjanjikan sesuatu yang praktikal, boleh dilaksana dan memberi manfaat optimum kepada rakyat.

Inilah Barisan Nasional !

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

********************************************************

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.