Parlimen Secara Rasminya Terbubar… PRU15 Untuk Kestabilan Dan Kemakmuran

10.10.22, tarikh dengan susunan nombor cantik yang memberi pelbagai reaksi buat seluruh rakyat Malaysia. Bagi penyokong Barisan Nasional (BN) ianya disambut dengan kelegaan dan semangat untuk mula berkempen seolah ada sesuatu yang telah disimpan dan telah sampai masa untuk dilunas. Bagi penyokong parti lain ada sindiran dan nada kemarahan dengan pelbagai hujah diberi bagi menyalahkan BN atas pembubaran Parlimen ini.

Apapun ianya adalah noktah atau jawapan yang ditunggu-tunggu atas pelbagai polemik serta pelbagai tuduhan dan label yang diberikan terhadap tiga kerajaan dalam sepenggal yang tidak pernah terjadi dalam sejarah negara. Boleh dikatakan tiada apa apa yang positif atau manfaat siknifikan yang negara perolehi hasil daripada pemilihan rakyat pada PRU14. Sepanjang tempoh lebih empat tahun pelbagai sandiwara dan pergeseran politik disajikan ditambah derita pandemik COVID-19. Kesannya Malaysia ketinggalan berbanding beberapa negara jiran yang mana jika sebelum ini Malaysia mendahului.

Inilah akibat walau ada pihak yang telah menjadi kerajaan di dalam tempoh tersebut mengaku berjaya itu ini namun realitinya adalah indah khabar dari rupa. Nyaring dengan kebanggaan diri telah menenggelamkan apa yang ada di sekeliling terutamanya rintihan dan rungutan rakyat.

Menjunjung kasih Tuanku atas kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong memperkenankan pembubaran Parlimen. Ianya juga disusuli dengan kekesalan Baginda dengan ketidakstabilan politik yang berlaku dan menyerah kepada rakyat untuk memberi mandat baru bagi memperbetulkan keadaan.

Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) Seperti Cacing Kepanasan

Kisah sebelum pembubaran, pelbagai nada berbelah bahagi di kalangan menteri kabinet walau mereka di dalam kerajaan yang sama sehingga 12 menteri di kalangan mereka mengutuskan surat kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong menolak pembubaran Dewan Rakyat. Ia menjelaskan yang kerajaan sedia ada tidak sehaluan yang selama ini pelbagai cara atau lakonan dibuat bagi menyembunyikannya pada mata rakyat. Matlamat serta ideologi berlainan telah mempengaruhi dasar dan ianya membantutkan banyak perkara tertutamanya dalam hal pembangunan. Bukan itu sahaja keharmonian sesama kaum terjejas akibat dasar PH yang penuh dendam kesumat sehingga terbawa ke hubungan luar negara yang menyebabkan beberapa konflik dingin dengan negara negara penting berlaku.

Ini jelas, ideologi dan pemikiran akan mempengaruhi tindakan sehingga sesuatu yang positif dan jalan yang terbaik dipolemikkan demi menegakkan apa yang difikir dan dipendam.

Polemik PRU ketika banjir menyusahkan rakyat, BN tidak mengutamakan rakyat cuba ditimbulkan sehingga mengajak rakyat menyertai petisyen yang dibuat. BN sangat bertanggungjawab, mana mungkin BN menyusahkan rakyat. Pemerintahan lebih 60 tahun jelas agenda mensejahterakan rakyat diusahakan bukti jelas dengan segala apa pembangunan sehingga pencakar langit antara tertinggi di dunia mampu didirikan.


Pasti SPR dan para saintis dapat meramalkan tarikh tarikh yang sesuai bagi diadakan pengundian. Jika dikata musim ni musim banjir ianya mengelirukan. Banjir sekarang boleh dikata dah tak mengikut musim akibat fenomena perubahan iklim. Bencana juga tidak boleh dielak namun dengan kemajuan teknologi yang ada kita boleh meramal sebagai langkah persediaan. Apa pun kita kena buat penyesuaian keadaan semasa bukannya berharap persekitaran yang akan menurut kehendak kita.

Sebenarnya ketika musibah terutamanya banjir ketika itulah karektor pemimpin akan teruji. Sama ada membantu atau sekadar menonton atau datang sekejap untuk merakam gambar. Jadi manfaatnya akan diterima oleh mangsa mangsa banjir. Orang politik yang akan terkesan kerana berkempen dalam keadaan sukar serta terpaksa harungi banjir. PH & PN tak bersedia lagi ke? Tak sanggup ke nak bantu rakyat yang berada dalam kesusahan?

Masalah Ketidakstabilan Menyukarkan Kemakmuran

Ianya jelas dengan ketidakstabilan politik akan mempengaruhi dasar, perancangan dan perlaksanaan pembangunan negara. Jawapan kepada masalah ini telah diberikan pada PRN Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor ternyata dengan majoriti lebih lebih lagi majoriti besar yang diperolehi oleh sesuatu gabungan parti yang membentuk kerajaan telah memberikan fokus dan kelebihan buat kerajaan berkhidmat untuk rakyat.

Alhamdulillah Malaysia terus aman dan diiktiraf yang ke18 paling aman di dunia daripada 163 buah negara dan ianya suatu nikmat dan peluang bagi kita menebus sesuatu yang mungkin kesilapan akibat ketidakbertanggungjawaban sesetengah pihak. Sejarah juga menunjukkan Malaysia terutamanya orang Melayu bangsa yang kaya adab dan sentiasa mengamalkan tolerasi dan penyelesaian melalui rundingan. Oleh itu nikmat peluang peluang yang masih ada harus dimanfaatkan sebaiknya bagi mencipta kestabilan demi kemakmuran yang kekal.

PH Tak Mahu Pilihan Raya Tapi Sudah Mula Berkempen

Pilihan raya adalah tiada pilihan jika masanya telah sampai. Kalau hendak diikutkan tempoh sebenar tamat penggal pun tak sampai setahun. Walau pelbagai tuduhan dan alasan dibuat untuk tidak diadakan pilihan raya, parti parti politik dalam PH juga PN tetap rancak berkempen.

Bukan sahaja berkempen malah meraih simpati sumbangan daripada rakyat untuk menghadapi pilihan raya. Bertanggungjawabkah itu, patutkah dibuat begitu. Sedangkan jika kita lihat kehidupan sesetengah pemimpin politik PH hidup dalam kemewahan. Bila lihat pengawal peribadi ada yang melebihi 10 orang. Kenapa perlu beretorik sehingga sedemikian rupa?

Beginilah politik permainan persepsi dan psikologi bagi menampakkan sesuatu yang palsu dan menyembunyikan macam macam perkara yang sebenar.

Tahun 2023 Titik Tolak Malaysia Kehadapan

Bajet 2023 ‘Keluarga Malaysia Makmur Bersama’ yang baru baru ini dibentangkan merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara. Namun ianya tidak sempat dibahas dan diluluskan di Parlimen. Akan tetapi beberapa insentif untuk penjawat awam telah diumumkan terdahulu dan berasingan yang sememang seolah ada sesuatu kelainan akan berlaku.

Ada asasnya mengapa bajet yang besar dirangka untuk negara. Kita telah melalui beberapa tahun yang sukar sehingga menyebabkan kita ketinggalan. Untuk mengejar dan memulihkan serta meletakkan negara kembali bersaing pasti memerlukan sinergi yang lebih dan menggerakkan pelbagai aspek secara komprehensif dan berganda daripada biasa. Kita tiada pilihan sama ada untuk terus ketinggalan atau mahu kembali bersaing dalam persekitaran yang mencabar dan tak menentu. Jika mahu kembali bersaing usaha dan langkah yang bukan biasa biasa perlu diambil.

Langkah tepat bagi Perdana Menteri mengusulkan pembubaran Parlimen pada tahun ini selaras dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO adalah untuk Malaysia tidak membuang masa terus menerus bergelut dengan masalah yang sama yang tiada kesudahan. Cukup cukuplah kita habiskan tahun 2022 ini dengan apa yang berlaku. Tahun 2023 kita buka wadah baru, azam dan tekad baru untuk memperbaiki kerosakan dan kembali meletakkan landasan Malaysia ke arah kemakmuran rakyatnya.


Rakyat boleh menilai dan sedar kemampuan dan matlamat pihak pihak yang tidak mahu mengadakan pilihanraya pada tahun ini. Mereka jelas tidak mahu keadaan berubah, mereka jelas tidak berperancangan untuk masa hadapan jadi mereka lebih rela bergelumang dengan apa yang ada selain beranggapan peluang yang mereka ada hanya pada kali ini sahaja jika pilihanraya dibuat bermakna peluang bagi mereka sudah tiada lagi.

Rakyat nak ke masalah dan ketidaktentuan yang kita hadapi ini berlarutan? Sudah tentu tidak bukan. Jadi tahun 2023 kita memulakan langkah baru dengan sinergi yang baharu bagi membetulkan dan membawa negara kehadapan. Kita ada kemampuan, kita ada kebolehan jadi jangan beri peluang kepada penggemar ketidakstabilan menjejaskan yang baik yang kita ada.

BN akan masuk gelanggang PRU 15 dengan motto ‘Kestabilan dan Kemakmuran’ dijangka mampu memperoleh mandat rakyat kerana aspirasi dan perjuangannya berpaksikan rakyat. Namun calon-calon yang ditampilkan perlu diteliti dan berhati hati juga yang memenuhi citarasa pengundi.

Oleh: NORMAN SAPAR

**********************************

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.