PM Arah KKM Beri Rawatan Kesihatan Terbaik Kepada Najib

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan rawatan terbaik kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan keadaan kesihatan yang dialaminya.

“Saya telah dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya telah mengarahkan KKM supaya memberikan rawatan terbaik yang diperlukan beliau. Saya doakan semoga beliau diberikan kesembuhan,” katanya menerusi ciapan di Twitter rasminya semalam.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan memaklumkan Najib dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) Jumaat lepas, sebagai kes elektif dan bukan kecemasan untuk memastikan kesihatannya berada pada tahap yang baik dan optimum.

Menurut Hisham keadaan Najib adalah sihat sebelum dibenarkan discaj dari HKL, dan jenis-jenis ubat yang dipreskrib untuk Najib semasa kemasukan wad adalah yang sama jenisnya dan dalam senarai ubatan KKM.

Perbicaraan kes Najib bagi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Tinggi hari ini dilaporkan telah disingkatkan, dan hakim bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan pada pukul 12.30 tengah hari bagi membolehkan Najib mendapatkan rawatan perubatan. – BERNAMA