Penting Tangani Isu Jaminan Halal Dalam Mempromosi Industri Halal – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Sebarang isu yang berkait dengan jaminan halal penting untuk ditangani dalam usaha mempromosikan industri halal kerana ia berisiko merosakkan imej halal yang diusahakan selama ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Jaminan halal yang saya maksudkan ini merujuk kepada keyakinan pengguna, penyeragaman, pensijilan dan akreditasi,” kata beliau ketika berucap merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-18 di sini, hari ini.

Menurut perdana menteri, kini terdapat lebih 8,000 syarikat di Malaysia diiktiraf halal dengan lebih 20 peratus daripadanya adalah syarikat pengeksport.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut bekerjasama dengan badan pensijilan halal dari pelbagai negara untuk keseragaman piawaian dalam pematuhan kepada undang-undang Syariah,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Petunjuk Ekonomi Islam Global turut meramalkan pasaran halal akan berkembang kepada hampir RM14 trilion (US$3.27 trilion) menjelang 2028, daripada RM8.8 trilion (US$2.09 trilion) seperti yang dilaporkan tahun lepas.

Ini sejajar dengan pertambahan populasi Muslim global yang kini mencecah 1.9 bilion pada 2021, sekali gus menunjukkan potensi tinggi dalam mempelbagaikan industri halal secara lebih inklusif dan komprehensif dalam jangka masa panjang, jelas beliau.

“Saya juga berasa bangga apabila dimaklumkan dalam tempoh sembilan tahun berturut-turut, Malaysia berjaya mengekalkan tempat teratas berdasarkan Petunjuk Ekonomi Islam Global yang terkandung dalam laporan ‘State of the Global Islamic Economy 2022’, menandingi 81 negara lain,” kata perdana menteri.

Penilaian tersebut katanya dibuat berlandaskan inisiatif digitalisasi ekonomi, pembangunan infrastruktur halal dan peningkatan fokus kerajaan terhadap sekuriti makanan dan penjagaan kesihatan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.