Agenda Pembangunan, Rakyat Tetap Jadi Keutamaan UMNO/BN

IPOH, 8 Sept – Pemangku Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim berharap rakyat memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir sepenuhnya negara termasuk negeri Perak bagi memastikan agenda pembangunan yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Jelas beliau, pada masa kini pentadbiran UMNO/BN Perak yang diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad telah melaksanakan pelbagai inisiatif dengan agenda pembangunan rakyat jadi keutamaan sebagaimana perancangan Border Gateway di Pengkalan Hulu.

“Menerusi perancangan Perak Sejahtera 2030 ada menyebut untuk mewujudkan Border Gateway di Pengkalan Hulu.

“Ini adalah satu pekan baharu di antara Malaysia-Thailand untuk dijadikan pusat menjana ekonomi yang akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan dan kerajaan negeri.

“Projek ini adalah hasrat kerajaan negeri untuk memajukan Pengkalan Hulu dan Parlimen Gerik untuk menambah peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar, transaksi perniagaan antara Malaysia-Thailand,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online baru-baru ini.

Aznel berkata bermacam pelan dirangka di Gerik untuk memastikan peluang ekonomi di kawasan dijana termasuk perancangan untuk melaksanakan perindustrian dan penubuhan institusi pengajian tinggi namun ianya tidak menjadi.

Namun beliau yang Ahli Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu beliau berkata, mengambil kira faktor geografi di kawasan tersebut pelan lain telah direncana dengan pemberian anak pokok durian secara percuma sebagai sumber tanaman baharu buat penduduk.

“Saya ambil pendekatan untuk kita mendekati petani, pekebun kecil dengan satu peluang untuk tambah pendapatan ketika itu buat program memberikan lapan anak pokok Musang King serta dua Duri Hitam setiap keluarga untuk mereka tanam di belakang rumah jadi sehingga sekarang pokok-pokok itu sudah mendatangkan hasil.

“Mereka telah memperolehi hasil pendapatan yang tinggi malah banyak pekebun kecil sebelum ini miliki kebun getah telah bertukar kepada tanaman Musang King kerana ianya cukup mendatangkan hasil sudah cukup untuk menampung keluarga.

“Sehingga hari ini dari tahun 2013 lebih daripada 10,000 anak pokok saya beri kepada rakyat Pengkalan Hulu melalui Jabatan Pertanian malah jabatan ini juga telah memberikan baja dan racun secara percuma.

“Ada juga peserta yang kita bagi anak pokok dengan dua pokok Duri Hitam pada 2 tahun yang lalu mereka mendapat hasil RM16,000 manakala anak pokok Musang King satu pokok RM2,000 jadi bayangkan jadi secara tidak langsung dia sudah terkeluar daripada kadar kemiskinan yang dialami
sebelum ini,” ujar beliau.

Terdahulu, Aznel yang merupakan timbalan ketua bahagian menjadi pemangku setelah ketuanya yang juga Ahli Parlimen, Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada November tahun lalu akibat akibat serangan jantung. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib