300 Penunggang Motosikal Sertai Jelajah Sempena Hari Malaysia 2022

MELAKA, 8 Sept – Kembara Hari Malaysia 2022 yang menjelajah seluruh Melaka akan disertai kira-kira 300 penunggang motosikal dari dalam dan luar negeri ini termasuk Singapura pada 16 Sept ini.

Pengerusi program berkenaan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kembara sejauh 200 kilometer itu akan berhenti di enam perhentian mewakili setiap Parlimen di negeri itu.

Beliau berkata Kembara Hari Malaysia 2022 akan bermula di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Rambai (arah selatan) pada 8.30 pagi dan berakhir di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir kira-kira 5 petang.

“Dengan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ pastinya program ini bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dalam satu Keluarga Malaysia.

“Program ini juga membawa mesej untuk kita bersama-sama menghayati erti kemerdekaan dan menyemarakkan suasana sambutan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia sekali gus mengajak seluruh masyarakat daripada pelbagai kaum mengekalkan kemerdekaan negara,” katanya kepada pemberita selepas sesi temu bual pada Program Apa Khabar YB bersama Melakafm di sini hari ini.

Melaka merupakan negeri pertama di Semenanjung dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2022 selepas Sarawak dan Sabah.

Kira-kira 20,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan berkenaan yang akan berlangsung di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan selain pelbagai aktiviti serta program kesenian dan kebudayaan akan turut diadakan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.