Perancangan UMNO/BN Untuk Orang Asli Terbaik, Terus Berikan Sokongan

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor mengajak rakyat khususnya masyarakat Orang Asli untuk terus menyokong UMNO/Barisan Nasional (BN) kerana perancangan yang dirangka oleh parti untuk mereka adalah begitu baik sekali.

Jelasnya, cadangan pembentukan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Orang Asli serta beberapa perancangan lain yang merangkumi kebajikan, pentadbiran dan kepentingan kaum tersebut memerlukan sokongan dan kuasa politik.

“Saya ambil ruang ini untuk memaklumkan kepada masyarakat Orang Asli bukan sahaja di Cameron Highlands, malah di seluruh negara untuk terus mengundi dan menyokong UMNO/BN kerana kalau kita lihat, perancangan yang mahu dilaksanakan mereka bagi kepentingan masyarakat Orang Asli adalah begitu baik sekali.

“Kita sudah cadangkan pembentukan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Orang Asli yang tidak pernah direncanakan dan difikirkan dahulu. Isu tanah adat, kita telah mempunyai rencana dan rancangan bagaimana untuk melaksanakan perkara ini supaya ia menjadi satu realiti, bukan sekadar omokan sahaja. Dari segi kebajikan, pentadbiran, kepentingan orang asli, banyak saya bincangkan bersama Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

“Perancangan bagi segala isu ini begitu teliti, hanya memerlukan sokongan dan kuasa politik sahaja. Ini diserahkan kepada masyarakat orang asli seluruh negara untuk terus menyokong serta memastikan UMNO/BN menang di mana-mana kerusi yang ditandingi,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Ramli, semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli ditukarkan kepada seseorang yang tidak pernah mentadbir.

“Kalau kita lihat semasa PH menjadi kerajaan dalam perspektif orang asli, mereka terus tukar Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Daripada seorang yang biasa, yang memahami pentadbiran kerajaan, digantikan dengan seorang ketua pengarah yang berakademik, tidak pernah mentadbir serta tidak pernah tahu apa itu urusan jabatan kerajaan dan organisasi yang besar.

“Jadi, impaknya tiada dan tidak kelihatan. Apabila kerajaan digantikan, saya nak memastikan bahawa pentadbiran, kebajikan, kemasyarakatan, ekonomi, politik dan sebagainya bagi Orang Asli ini dilaksana sebaik mungkin dan tidak ada ketirisan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ramli turut menzahirkan rasa syukur apabila beliau yang merupakan Orang Asli pertama yang dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Alhamdulilah pihak parti telah mencalonkan saya sebagai seseorang untuk melaksanakan tugas sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Apa yang saya lihat, nombor satu apabila bertugas selepas itu, kita sebaik mungkin memberi ruang kepada setiap ahli Parlimen untuk bercakap mengenai kepentingan kawasan yang diwakili sebaik mungkin, berlandaskan kepada peraturan yang telah diadakan untuk mengendali dewan.

“Alhamdulilah saya telah diberi ruang dan saya sebagai Orang Asli nak menyatakan kepada kaum saya, kita orang asli ada satu kepala, dua tangan, dua kaki, satu otak, sama juga dengan bangsa lain. Siapa cakap Orang Asli tak boleh melaksanakan tugas? Saya boleh melaksanakan. Kenapa Orang Asli tak boleh laksanakan? Jadi, ini sebagai satu semangat agar bangsa saya jangan berasa kecil, kita boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Kemahuan dan kemampuan boleh dilaksanakan,” katanya lagi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands menyaksikan Ramli selaku calon BN mengekalkan kerusi tersebut apabila meraih 12,038 undi menewaskan calon PH dari Dap, M Manogaran (8,800 undi) dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi). – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.