Bung Moktar Nafi Sakit, Dirawat Di Hospital

KOTA KINABALU, 5 Sept – Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini menafikan laporan bahawa kini beliau sedang sakit dan dirawat di hospital seperti gambar yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu telah mengesahkan sendiri mengenai keadaan kesihatannya menerusi kenyataan dengan memberitahu beliau sihat dan kini berada di Kuala Lumpur selepas menghadiri prosiding mahkamah pada Jumaat lepas.

“Kepada semua rakan-rakan dan juga musuh-musuh politik, jangan bimbang saya kekal di posisi yang tenang dan masih sihat dalam perlindungan Allah,” katanya.

Menurut Bung Moktar beliau akan bersama rakyat dan penyokong BN di Kota Belud pada 10 Okt 2022 untuk melancarkan program Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kota Belud dan Tuaran.

Sementara itu, Setiausaha Akhbarnya Jaafar Abdul Wahid ketika dihubungi berkata sejak semalam beliau tidak henti-henti menerima panggilan dan WhatsApp daripada beberapa pemimpin dan rakan-rakan bertanyakan khabar Bung Moktar.

Katanya ini berikutan tular sekeping gambar di media sosial dan aplikasi WhatsApp, Bung Moktar terbaring di atas katil sambil diziarahi Setiausaha Agung BN Datuk Ahmad Maslan dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin.

“Gambar tersebut merupakan gambar lama sekitar tahun 2015 atau 2016 ketika beliau balik daripada menjalani rawatan buah pinggang di China yang sengaja disebarkan dengan tujuan untuk menjejaskan reputasi Bung Moktar, hentikan perbuatan menyebar berita palsu ini,” tegasnya. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.