KPLB Meterai Lanjutan MOU Dengan Elokal Sdn Bhd, Jayakan Desamall@KPLB

ALOR SETAR, 3 Sept – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) hari ini memeterai pelanjutan memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Elokal Sdn Bhd bagi menjayakan Program DesaMall@KPLB melalui pembangunan perniagaan usahawan luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerjasama itu merangkumi bimbingan dan latihan kepada usahawan luar bandar, pemasaran produk secara dalam talian serta bekerjasama dengan pemain industri yang relevan untuk menjayakan DesaMall@KPLB.

Program DesaMall@KPLB adalah inisiatif KPLB yang bertujuan membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform e-dagang.

“Pertama sekali kita harap usahawan dalam kalangan masyarakat luar bandar termasuk usahawan digital dapat manfaat daripada MoU ini manakala syarikat Elokal Sdn Bhd boleh letakkan sasaran berapa ramai usahawan yang akan dilatih.

“Kedua, diharap ada peningkatan jualan produk usahawan luar bandar kerana MoU ini turut melibatkan institusi kewangan, jadi mungkin ada cara dan kaedah gerbang pembayaran (bagi bantu usahawan),” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian MoU itu sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah di pekarangan Stadium Darul Aman di sini hari ini.

KPLB diwakili Ketua Setiausaha kementerian Datuk Ramlan Harun manakala Elokal Sdn Bhd diwakili pengarah urusannya yang juga Pentadbir DesaMall@KPLB Ahmad Shah Wahid.

Selain menyaksikan pemeteraian pelanjutan MoU itu, Mahdzir turut menyaksikan Elokal Sdn Bhd menandatangani kerjasama dengan 11 rakan strategik antaranya MaybankQR, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional, Fasspay, Foodpanda Malaysia, Lazada, Celcom dan Maxis.

KPLB merupakan kementerian peneraju Jelajah AKM Kedah yang berlangsung mulai semalam hingga Ahad ini.

Jelajah AKM Kedah adalah edisi kesembilan selepas Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak dan Selangor.

Penganjuran Jelajah AKM bertujuan memudahkan rakyat di setiap negeri mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan dan perancangan yang ditawarkan kerajaan. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.