Padang Terap Akan Dibangun Untuk Lonjak Nilai Dagangan Di Sempadan – PM Ismail Sabri

KUALA NERANG, 2 Sept – Padang Terap akan dibangunkan menjadi salah satu kawasan yang mampu melonjakkan nilai dagangan di sempadan antara Malaysia dan Thailand, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata untuk itu kerajaan bercadang menyediakan infrastruktur tertentu antaranya pembinaan jalan raya dan menaik taraf kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) bagi menyokong pembangunan di daerah tersebut.

“Kita akan bangunkan kawasan-kawasan bandar sempadan, kita akan bangunkan CIQ di sempadan dan kita akan bangunkan infrastruktur setempat.

“Oleh kerana daerah Padang Terap berhampiran sempadan terutama kawasan Durian Burung, kerajaan bercadang untuk membangunkan jalan raya empat lorong dari Pokok Sena ke Durian Burung di Padang Terap ini,” katanya semasa berucap pada program ‘Kenuri’ Rakyat Keluarga [email protected] Terap, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, ketika ini nilai dagangan antara Malaysia-Thailand berjumlah US$23 bilion dan kira-kira US$10 bilion disumbangkan oleh perdagangan melalui sempadan di kedua-dua negara.

Menurutnya, Padang Terap juga memiliki kawasan perindustrian Kedah Rubber City (KRC) yang kini telah menerima pelaburan bernilai lebih RM3 bilion dan dijangka mampu mencapai nilai pelaburan mencecah RM10 bilion pada masa akan datang.

Perdana Menteri berkata bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di KRC, kerajaan akan mewujudkan pusat kecemerlangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang membabitkan kos RM15 juta, bagi melatih tenaga kerja dengan kepakaran dalam industri getah.

“Jadi sebab itulah saya katakan dengan adanya KRC ini akan menjadikan Padang Terap sebagai kawasan industri, kedatangan pelancong juga saya percaya akan bertambah ramai dengan adanya jalan empat lorong,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM80 bilion untuk memberi pelbagai bentuk subsidi kepada rakyat pada tahun ini bagi membantu mereka menghadapi kenaikan harga barang keperluan.

Menurutnya, walaupun Bajet 2022 memperuntukkan sebanyak RM32 bilion untuk tujuan itu, namun kerajaan terpaksa meningkat jumlah itu bagi mengelakkan rakyat terbeban. – BERNAMA