Kejayaan Di PRN Johor Bukti UMNO/BN Berupaya Tadbir Negara – Hasni

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Kejayaan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) menggambarkan bahawa parti itu sesungguhnya mempunyai keupayaan untuk mentadbir negeri dan juga negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad berkata, untuk itu parti serta ahli politik perlu memahami bahawa sebenarnya rakyat sudah penat kerana terlalu banyak drama ‘politiking’.

“Untuk itu, perlu untuk kita membuat perubahan berdasarkan kepada iklim politik semasa serta terus berusaha untuk menyediakan satu hala tuju politik yang jelas. Tidak lain dan tidak bukan untuk memakmurkan negara dan rakyat kita.

“Jadi, apa yang jelas di Johor ialah apabila kita bercakap soal kestabilan, maka ianya berjaya untuk menarik imaginasi rakyat. Itu yang diharapkan. Negeri Johor terus stabil, maka kita perlu bergerak ke hadapan.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan kita baru sahaja selesai daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pandemik Covid-19. Ramai pihak yang terkesan. Jadi, kalau kita terlalu banyak sangat berpolitik, itu yang menjadikan ianya suatu yang saya anggap sebagai tidak adanya keadilan,” katanya menerusi sesi wawancara secara langsung di Facebook UMNO Online pada Khamis.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu turut berkata, UMNO/BN juga perlu tahu tentang cabaran yang mereka perlu hadapi untuk memperoleh kejayaan.

“Selain daripada kita menggambarkan pentingnya kestabilan kepada Negeri Johor, kita juga tahu tentang cabaran-cabaran yang kita hadapi untuk menentukan kejayaan itu. Bukan dengan setakat kejayaan kita memenangi 40 kerusi di PRN Johor, satu pencapaian yang saya anggap besar pada kita.

“Itu boleh berlaku jika kita faham cabaran-cabaran yang kita hadapi lebih-lebih lagi kita ada pengundi 18 tahun, kita ada automatic voters, itu semua adalah satu perkara yang saya percaya memerlukan kita memahami kehendak pengundi-pengundi dalam hal kita berdepan dengan sesuatu pilihan raya,” katanya lagi.

PRN Johor ke-15 menyaksikan UMNO/BN memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, memperlihatkan bahawa rakyat menaruh kepercayaan kepada parti itu untuk membentuk kestabilan serta kemakmuran di negeri tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.