BN Terus Berkhidmat… Tolak Mainan Persepsi, Manipulasi Beri Imej Negatif – Khairin Nisa

KUALA LUMUR, 26 Ogos – Manipulasi serta mainan persepsi adalah antara senjata parti pembangkang yang sentiasa berusaha untuk memberikan imej negatif terhadap Barisan Nasional (BN) yang sememangnya diketahui umum bukan sahaja berpengalaman malah sentiasa faham kehendak masyarakat.

Justeru tidak pelik jika sekiranya kaedah sedemikian akan digunakan sekali lagi pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti dan inilah yang seharusnya diketahui dan difahami oleh rakyat dalam membuat perbandingan antara sesebuah parti untuk dipilih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa’ Ismail berkata itulah yang dapat dipaparkan sejurus kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor beberapa bulan lalu iaitu terus bekerja dan berkhidmat melaksanakan segala amanah serta janji yang ditawarkan.

Jelas beliau itulah manfaatnya jika parti yang dipilih itu benar-benar berpengalaman dalam urus tadbir negeri mahupun negara kerana sudah pasti perkara utama adalah melaksanakan yang terbaik untuk masyarakat yang telah memberikan mandat.

“Beri 22 bulan kepada parti baharu untuk menerajui negara serta negeri sebelum ini, apakah mereka tunaikan janji-janji yang ditawarkan. Apapun jika sesebuah parti yang berpengalaman diberikan amanah serta kepercayaan seperti BN untuk menguruskan sesebuah negeri dan juga kerajaan di peringkat persekutuan pelbagai manfaat akan diperoleh oleh rakyat. Jadi kita perlu sama-sama melihat soal ini.

“BN adalah sebuah parti yang sangat berpengalaman bukan sahaja dalam urus tadbir, urus masyarakat dan sebagainya. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan BN faham apa yang patut dibuat selepas diberikan mandat… berlaku kekurangan sedikit sebanyak itu biasa tetapi untuk meneruskan kesinambungan BN adalah sebuah parti yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, ditanya kesiapsiagaan menjelang PRU nanti, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Ledang melontarkan keyakinan terhadap jentera yang bakal bergerak nanti kerana masing-masing telah melalui PRN yang lalu.

“Insya-Allah sebab kita baru sahaja habis PRN… jadi sudah pasti kita dapat kenali pengundi serta jentera terlatih. Ini  waktu sesuai untuk kita kembalikan semula dan dekati pengundi serta laksanakan segala janji-janji kita.

“Malah saya saya percaya ADUN-ADUN BN yang telah diberikan amanah sebelum ini  telah menjalankan tugas dengan sebaiknya. Pada saya BN adalah yang terbaik untuk berkhidmat kepada masyarakat,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.