Wanita Tunjang Kemajuan Negara, Perlu Diperkasakan Pelbagai Sudut – Norshida

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim melihat peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh wanita dalam pembangunan negara begitu besar dan tidak ternilai harganya.

Malah kata beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, tiada siapa dapat menyangkal betapa pentingnya peranan golongan tersebut dalam mengait dan menyulam kisah kejayaan sesebuah keluarga mahupun negara.

“Berdasarkan Skor Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2021 menunjukkan, Malaysia berjaya merapatkan jurang dalam sub-indeks pendidikan dan kesihatan. Namun begitu, kita tidak seharusnya cepat berpuas hati dengan pencapaian tersebut kerana keterlibatan wanita dalam bidang ekonomi dan politik masih lagi rendah

“Jurang gender yang ketara dalam bidang kepimpinan, politik dan pembuatan keputusan, merupakan satu kerugian kepada negara yang perlu kita tangani secara bersepadu dan menyeluruh. Ini kerana ramai wanita di Malaysia yang berkaliber dan berpotensi untuk memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi

“Menyedari hakikat itu, saya berharap kerajaan akan terus cakna perihal kesejahteraan kaum wanita kerana saya yakin jika diberi peluang dan ruang, wanita mampu menjadi daya penggerak utama produktiviti dan ekonomi negara setanding dengan lelaki,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini hari ini bersempena penubuhan Wanita UMNO.

Dalam konteks parti pula, Norshida melihat sejak tewas PRU Ke-14, Wanita UMNO tidak berganjak walau seinci pun malah, mereka terus setia berjuang demi untuk parti dan kepimpinan.

Tambahnya, cara dan pendekatan semasa PRU sudah berubah malah Wanita ketepikan rasa penat, ketepikan rasa kecewa serta ketepikan bekerja secara sendiri sebaliknya, bekerja sebagai satu pasukan yang mantap dan jitu.

“Bahkan, kami telah lipat gandakan usaha dan gerak kerja. Jadi, pada PRU Ke-15 kali ini, kami yakin, cadangan 30 peratus calon wanita, pasti akan disokong oleh pucuk kempimpinan parti.

“Juga, saya rasa tidak keterlaluan, untuk Wanita menggesa supaya pihak Kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menetapkan setiap parti wajib mengemukakan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita untuk melayakkan parti berkenaan bertanding dalam Pilihan Raya Umum.

“Wanita tunjang kemajuan negara…Selamat menyambut Ulangtahun Ke-73 buat Wanita UMNO Malaysia dan selamat menyambut Hari Wanita Kebangsaan,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.