Rakyat Boleh Buat Perbandingan Parti Selain BN Terajui Negeri, Negara

JOHOR BAHRU, 25 Ogos – Ahli Dewan Undangan (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohd Najib Samuri berpandangan rakyat bukan sahaja dapat membuat perbandingan antara parti-parti yang menerajui negeri mahupun kerajaan pusat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, malah mungkin tidak akan membuat percubaan kali kedua dalam mengundi.

Mengambil contoh bagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, beliau yang juga Ketua Pemuda Sri Gading berkata jika sebelum ini negeri tersebut terumbang-ambing dengan pergolakan politik yang akhirnya menyebabkan mereka menjdi mangsa keadaan.

“Selepas PRU-14 yang lalu rakyat telah melihat serta merasai bagaimana kaedah pemerintahan parti-parti selain Barisan Nasional (BN) dan rasanya mereka ada yang dah sedar serta mungkin dah ada yang serik dengan kaedah pemerintahan parti-parti berkenaan.

“Hari ini masing-masing boleh membuat penilaian dan hanya menunggu masa untuk menjadikan kerajaan persekutuan kembali kepada BN sepertimana yang berlaku pada PRN Johor baru-baru ini apabila mandat besar diamanahkan kepada BN untuk menerajui negeri,” katanya kepada UMNO-Online.

Menyentuh lebih lanjut soal berkenaan, beliau seterusnya menambah di Johor sama juga senarionya dengan Negeri Melaka apabila PRU nanti barangkali hanya akan melibatkan kawasan parlimen dan jika dilihat secara umum, BN ada sedikit kelebihan memandangkan sebelum ini jentera parti baharu sahaja melalui PRN.

Kata beliau lagi di kawasan Parlimen Sri Gading hari ini, BN  mempunyai dua wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai wakil rakyat yang baru sahaja diberikan kepercayaan dan tentunya akan berkhidmat sebaik mungkin dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan di parlimen berkenaan pada PRU nanti.

“Kita akan membantu jentera parti sebaiknya untuk memenangi kawasan ini dan kita ada sasaran tertentu dalam usaha menggerakkan seberapa ramai jentera kita membawa kemenangan BN sambil dibantu wakil-wakil rakyat yang baharu.

“Kalau diikutkan rekod kekalahan kita di Sri Gading majoriti 3,000 lebih, namun PRN Johor menampakkan sebaliknya malah peluang mungkin lebih cerah apabila kita memenangi dua kawasan DUN di dalam parlimen Sri Gading.

“Mungkin ini sedikit sebanyak akan melonjakkan semangat jentera kita untuk merampas pula parlimen Sri Gading dan kita optimis ianya bakal mencatatkan satu perubahan nanti, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.