Kisah Najib Bukan Pengakhiran Perjuangan, Azimat Penguat Semangat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kisah Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah pengakhiran kepada perjuangan mengembalikan kemakmuran di bumi Malaysia.

Sebaliknya katanya, kisah terbabit akan menjadi azimat penguat untuk terus bersama dan lebih bersemangat dalam berjuang.

“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mereka pernah menyatakan UMNO telah tiada dan sudah berakhir. Mereka mahu menamatkan terus riwayat UMNO, namun berkat keazaman bersama kita berjaya menghalanginya. Bersama kita semua mara dan terus berjuang mencapai kebangkitan UMNO.

“Selepas gagal dan melihat kebangkitan UMNO, mereka mahu menguasai (hijack) parti terbesar orang Melayu ini. Mahu memperkudakan UMNO untuk menjamin kedudukan politik, kuasa dan jawatan mereka yang kian lemah.

“Namun berkat keazamaan pemimpin dan ahli UMNO yang setia, sekali lagi bersama kita berjaya menghalanginya,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Bagaimanapun kata Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), dapat jua disaksikan betapa mereka tetap bermuslihat untuk menawan dan mempergunakan UMNO.

“Bagi mencapai tipu daya, pemimpin UMNO yang mempertahan UMNO daripada tergadai kepada mereka mahu diketepikan. Syukur ke hadrat Ilahi para pimpinan UMNO yang setia kepada perjuangan UMNO tidak tunduk dan mengalah.

“Termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah begitu banyak berjasa kepada UMNO yang kini dipenjarakan. Mereka menjangkakan api kemaraan UMNO akan terpadam dengan pemenjaraan Najib Razak.

“Mereka mengharapkan muslihat mereka akan lebih mudah dicatur dan terlaksana, ternyata mereka tersilap mengatur percaturan. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.