Keputusan Mahkamah Tidak Sama Sekali Padam Jasa Najib – Noh Omar

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa tidak sama sekali dapat memadamkan jasa besar bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah membawa Selangor dan Malaysia kemercu kejayaan, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Sehubungan itu beliau menzahirkan rasa simpati atas keputusan perbicaraan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022.

“Kami menzahirkan rasa dukacita apabila permohonan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk menangguhkan perbicaraan telah ditolak oleh mahkamah.

“Meskipun demikian, perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mesti diteruskan demi kemaslahatan agama, bangsa dan tanah air.

“Kami mendoakan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan keluarga tidak berputus asa, terus tabah dan cekal dalam menghadapi segala dugaan ini,” katanya menerusi satu kenyataan pada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata Datuk Seri Mohd Najib adalah bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, beliau juga pernah menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor daripada tahun 2009 hingga 2013.

“Walaupun Negeri Selangor tidak ditadbir oleh BN, namun banyak peruntukan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat telah diluluskan dan dilaksanakan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.