BN Tidak Ambil Mudah Malah Bukan Kerangka Selesa, Terus Usaha Untuk PRU15 – Hairi

JOHOR BAHRU, 25 Ogos – Pemuda Barisan Nasional (BN) Johor tidak beranggapan Pilihan raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini satu kelebihan buat mereka untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sebaliknya mengambil sikap mentaliti masih berada dalam pembangkang.

Ketuanya Mohd Hairi Mad Shah berkata meskipun BN negeri menang dengan majoriti yang cukup besar pada PRN berkenaan, namun masing-masing tidak boleh berada dalam zon selesa dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan nanti.

Menurut beliau selain membantu BN mengekalkan kawasan yang dimenangi pada PRU lalu, usaha juga akan ditingkatkan dalam mengambil semula parlimen-parlimen yang dimenangi oleh pihak lawan dan ianya sekaligus kejayaan yang cukup bermakna.

“Pada saya bukanlah satu kelebihan dan kita juga tidak berada dalam kerangka yang selesa biarpun sebelum ini pernah melalui PRN serta BN mencatat kemenangan yang dibanggakan sebaliknya sentiasa meletakkan diri dalam keadaan pembangkang.

“Kita mungkin bekerja dalam keadaan 60-70 peratus, dan hari ini walaupun kita telah menjadi kerajaan tetapi saya nasihatkan sahabat saya untuk kita harus bekerja dalam keadaan mentaliti pembangkang dan tidak boleh mengambil sikap selesa.

“Saya anggap keputusan PRN sebelum ini malah kedudukan sebagai exco kerajaan negeri tidak menjamin keselesaan kepada parti untuk kita rampas kembali kawasan dan atas dasar itulah saya ambil pendekatan bekerjalah dalam satu pasukan sebagaimana keadaan kita pembangkang,” katanya kepada UMNO-Online.

Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Larkin seterusnya percaya pengundi pada PRU nanti khususnya pengundi muda akan membuat penilain sebaiknya dan sepertimana pada PRN Johor rata-rata mereka mahu melihat kepada kestabilan.

“Kita percaya pengundi muda khususnya tentu berhati-hati untuk memilih parti yang boleh membantu serta menggerak sesebuah negara itu dengan stabil dan saya lihat apabila Johor pada PRN lepas menunjukkan manifestasi rakyat untuk kembali semula kepada BN, apatah lagi pucuk pimpinan pusat serta negeri meletakkan satu pendekatan yang berbeza dengan meletakkan calon-calon muka baharu maka terbukti ia mendapat hasil majoriti yang cukup besar.

“Ianya menunjukkan satu keadaan yang stabil dan memperlihatkan rakyat mahukan kestabilan negeri diletakkan kembali kepada landasan. Kita lihat hampir enam bulan selepas diberikan kepercayaan menerusi pentadbiran baharu dan Alhamdulillah ianya terbukti. Saya sendiri yang diletakkan KPI yang agak besar iaitu orang muda Johor dan orang melihat BN ada menunjukkan satu pendekatan yang cukup besar untuk rakyat.

“Kita lihat pucuk pimpinan lebih terbuka melihat hasil yang diketengahkan dan kita pula orang muda tidak sama sekali melupakan jasa dan pengorbanan orang-orang lama yang terlebih dahulu memperjuangkan UMNO/BN dan hari ini orang-orang muda menyambung legasi yang ditinggalkan,” katanya.

Tambahnya lagi atas nasihat mereka, parti tetap menjadi keutamaan dan berada di depan selain terus bekerjasama dalam satu pasukan.

“Sepertimana yang kita tahu, kita berdiri hari ini bukan atas tiket individu tetapi kemenangan bersama atas satu logo iaitu dacing dan parti inilah yang membawa kita ke sini. Kesepakatan serta bekerja dalam satu pasukan akan terus dipegang dan insya-Allah PRU yang akan diadakan pada bila-bila masa, Pemuda Johor sedia menyahut apa sahaja gerak keraja di peringkat akar umbi dan akan bertungkus-lumus membantu kemenangan parti kelak,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.