Kes Najib: Zahida Gesa Pihak Berkuasa Jejak Nama-nama Lain Yang Terlibat

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan menuntut agar pihak berkuasa meneruskan usaha menjejak nama lain yang terlibat agar episod sabitan salah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak ditujukan hanya kepada beliau seorang sahaja.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Zahida turut menzahirkan kesedihannya di atas apa yang menimpa Najib pada Selasa.

“Hari ini (Selasa) datang satu lagi berita sedih pada saya, pada parti, penyokong malah rakyat Malaysia yang menyaksikan episod politik di negara kita. Tidak kurang yang bersorak gembira atas musibah melanda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jadi persoalan yang bermain dalam fikiran rakyat, kenapa seperti tergesa-gesa mahu penjarakan Datuk Seri Najib Razak? Ini jadi satu sejarah hitam bukan sahaja pada beliau, malah kepada rakyat sekiranya ingin mendapat pembelaan yang adil,” katanya.

Dalam pada itu, Zahida turut mengajak rakyat menitipkan doa agar Najib dikurniakan kesihatan yang baik serta mendapat keadilan yang sebenar-benarnya.

“Sama-sama kita doakan agar beliau terus tabah, dikurniakan kesihatan yang baik dan semoga beliau akan mendapat keadilan sebenar-benarnya.

“Saya turut menuntut pihak berkuasa meneruskan usaha menjejak nama-nama lain yang terlibat. Termasuk manusia yang digelar Jho Low, Nik Faisal, begitu juga Zeti dan suaminya agar episod ini bukan hanya ditujukan kepada seorang yang bernama Najib Razak semata-mata,” katanya lagi.

Media pada Selasa melaporkan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjaran serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib gagal menimbulkan keraguan munasabah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.