Kes Najib: Keluarga Besar UMNO Berdukacita, Ahmad Zahid Minta Ahli Bertenang

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Keluarga besar UMNO melahirkan rasa dukacita atas pengakhiran keputusan perbicaraan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memaklumkan bahawa UMNO merasa amat terkilan kerana proses dan ruang untuk mantan Perdana Menteri mempertahankan dirinya terutama usaha untuk mengemukakan bukti-bukti baharu dan penangguhan bagi membolehkan pasukan pembelanya yang baharu membuat persiapan telah dinafikan.

“Kepada seluruh ahli UMNO, kita perlu bertenang dan tanamkan tekad, segala kepincangan dalam sistem untuk menjamin keadilan, akan menjadi salah satu agenda untuk diperbetulkan.

“Ini termasuklah pendedahan bekas Peguam Negara Tommy Thomas mengenai campur tangan politik Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) terdahulu dalam pelantikan Hakim dan perjalanan sistem perundangan negara,” katanya.

Jelasnya, bagi UMNO keputusan Mahkamah Persekutuan semalam tidak sama sekali dapat memadamkan jasa besar Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri yang telah membawa Malaysia ke mercu kejayaan dan meletakkan Malaysia di persada sebelum disuramkan oleh kegagalan dua kerajaan selepas PRU-14 yang lalu.

“Walau jasad dipenjara, semangat dan daya juang mantan Presiden UMNO itu dalam usaha mempertahankan dirinya serta tampil berada di barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra UMNO sehingga mampu bangkit semula selepas kekalahan PRU-14, akan tetap membara,” katanya.

Ujarnya, UMNO akan terus bersama Najib dalam menghadapi perbicaraan kes lain yang sedang dihadapinya bagi menjamin beliau mendapat keadilan dan tidak dimangsakan dengan tekanan politik.

Dilaporkan, semalam keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta kepada Najib.

Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berhubung dana SRC International. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Beliau sekali lagi dituduh di Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2018 atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta) yang merupakan hasil kegiatan haram dan kesemuanya kes itu dibicarakan bersama.

Pada 3 April 2019, perbicaraan bermula selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya adalah cacat.

Najib menghadapi empat lagi kes di mahkamah membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pindaan laporan audit 1MDB, pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM27 juta. – UMNO Online

Download (PDF, 247KB)